KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membantu kempen calon Parti Amanah Negara (PAN) di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Khairuddin Abu Hassan yang merupakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri itu mendakwa Dr Mahathir melakukan tindakan tersebut kerana tidak mahu BN menang di PRK berkembar tersebut.
“Tun M sudah pasti akan turun berkempen di Sungai besar dan Kuala Kangsar kerana pendirian Dr Mahathir adalah tidak mahu BN menang.
“Secara tidak langsung Dr Mahathir akan turun atas dasar Deklarasi Rakyat. Dia akan berkempen di acara Pakatan Harapan tetapi atas platform Deklarasi Rakyat,” katanya dipetik dari laporan FMT.
Menurut Khairuddin lagi, jawatankuasa Deklarasi Rakyat kini sedang dalam mengatur jadual Dr Mahathir untuk kedua-dua PRK itu.
“Kita tengah susun jadual Dr Mahathir,” katanya lagi.
Kenyataan Khairuddin itu bagaimana pun bertentangan dengan penjelasan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sebelum ini pernah menegaskan Dr Mahathir sama sekali tidak akan menyertai kempen atau menyokong pembangkang.
“Ini karut belaka. Jangan harap dia nak lemahkan parti (UMNO dan BN) dan sokong Pakatan Rakyat. Tak timbul langsung isu dia nak menyokong pembangkang,” kata Mukhriz kepada portal Awani pada Mei tahun lepas.
Dr Mahathir dalam kenyataan kepada media pada Mac tahun ini beberapa selepas keluar dari UMNO juga pernah menegaskan tidak akan menyertai atau menyokong pembangkang.
“Tidak, saya tidak akan menyertai pembangkang. Saya tidak bersetuju dengan mereka,” katanya.
PRK Sungai Besar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN (Budiman Mohd Zohdi) ditentang calon PAS, Dr Abdul Rani Osman dan PAN diwakili Azhar Abdul Shukur.
Di PRK Kuala Kangsar, BN meletakkan Datin Mastura Mohd Yazid, PAS diwakili Dr Najihatussalehah Ahmad, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli mewakili PAN dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. – SuaraTV