loading...

Lelaki Naik Berang, Muka Di Pasport Menyerupai Hitler

LONDON — Lelaki ini berang apabila melihat foto mukanya di pasport hampir serupa dengan Adolf Hitler tetapi keluarga dan rakannya mempermain-mainkannya.

 

Pejabat Pasport United Kingdom pula mengakui kesilapan dan akan menyiasat bagaimana dokumen silap itu boleh dikeluarkan.

 

Stuart Boyd, 50, tercengang-cengang apabila mendapati gambarnya tersalah cetak sehingga kelihatan seakan-akan tokoh Nazi yang digeruni, lapor portal The Sun.

 

Masalah lelaki dari Salford, Greater Manchester, itu bermula pada 22 Mei lalu apabila menempah pasport baru untuk pergi bercuti ke Pulau Rhodes di Greece pada Julai ini.

 

Seminggu kemudian, pasport itu siap tetapi fotonya di dalam dokumen perjalanan itu kelihatan beliau seperti memiliki misai nipis empat segi di tengah-tengah, ala bekas pemimpin Jerman itu.

 

“Saya sangat bengang apabila melihatnya. Saya sangat-sangat sengsara, sungguh,” kata Boyd , bekas anggota paramedik, kepada akhbar Manchester Evening News.

 

“Saya terfikir ‘oh Tuhan, saya terpaksa memilikinya selama 10 tahun semata-mata kerana mereka gagal membuatnya dengan betul.

 

“Saya tidak pasti bagaimana proses untuk menukarnya, sebab itu saya menyiarkan gambar ini di Facebook,” katanya, kini bekerja di sektor pengangkutan awam, lagi.

 

passport Stuart Boyd

 

Namun rakan-rakan Boyd mentertawakan beliau pula dan menganggap masalah itu sebagai bahan jenaka.

 

“Ia sangat kelakar!” kata rakannya Ruth Armstrong Carooppunnen di ruang komen Facebook dengan perkataan “Heil-arious.”

 

“Jadi apa masalahnya? Bagi saya ia kelihatan sudah betul,” kata seorang lagi kenalannya Glenn Hughes, dengan menyebut “al-Reich”.

 

Malah saudara perempuannya Angie juga terbahak-bahak apabila beliau mengadu masalah itu melalui telefon, lapor The Sun lagi.

 

“Dia asyik ketawa, dia katakan kepada saya, ‘tolonglah, anda kena lihat sisi lucunya’. Sahabat dan rakan sekerja saya fikir masalah ini kelakar,” katanya.

 

Boyd kemudian merujuk isu tersebut ke Pejabat Pasport dan seorang pegawai mengakui kesilapan mereka.

 

“Mereka tidak sengaja membuat rupa saya kelihatan seperti Hitler dan menyuruh saya hantar semula pasport itu supaya mereka dapat membuat yang baru,” katanya.

 

Jurucakap Pejabat Pasport memberitahu media bahawa “semua pasport UK dibuat dengan teliti dan diperiksa mengikut piawaian sebelum ia dikeluarkan.”

 

“Kami akan menghubungi beliau untuk menyiasat kes ini lebih lanjut,” kata jurucakap itu. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...