loading...

DAP Jangan Campur Urusan Islam – Abdul Hadi

KOTA BHARU – Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam secara tegas memberi amaran kepada DAP supaya jangan sesekali mencampuri urusan agama Islam.

 

Peringatan itu diberikan berikutan keceluparan DAP yang membantah usul persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016 bagi memperluaskan kuasa mahkamah tersebut yang dibentangkan oleh beliau di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

 

Ketika menggulung perbahasan di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-62 di sini, Abdul Hadi juga mengingatkan MCA dan MIC supaya tidak mengikut jejak langkah DAP menolak rang undang-undang Islam yang langsung tidak ada kaitan dengan mereka.

 

“Apabila kita bentang (Akta 355) DAP ini buat ribut di Parlimen, minta usul ini diundi, boleh dibentang atau tidak. Sepatutnya, sesuatu usul itu diundi selepas sesi perbahasan. Belum apa-apa lagi telah ajak undi, kenapa kelam-kabut, ini Islam bukan untuk orang bukan Islam. MCA dan MIC pula turut ikut campur bantah, sejak bila kedua-dua parti ini berimamkan DAP dan parti di sebelah sana (PAN) juga ikut sama,’’ katanya.

 

Dalam ucapan itu juga beliau meminta seluruh ahli Pas supaya setia kepada kepemimpinan dan tidak terikut-ikut dengan parti pembangkang lain ketika menjalinkan kerjasama atau tahaluf siyasi dengan mana-mana parti politik.

 

Beliau berkata, kesetiaan da­lam berjemaah sangat pen­ting dan jangan sesekali ahli atau pemimpin tersasar daripada perjuangan kerana terpengaruh de­ngan sekutu sebagaimana berlaku kepada parti sebelum ini.

 

‘‘Gerakan Islam memerlukan wala’ (kesetiaan) dan kepatuhan kepada jemaah. Kesetiaan, kepatuhan berjemaah sangat penting. Jangan apabila kita bertahaluf, kita hilang kesetiaan kepada parti.

 

‘‘Kita lebih memilih untuk setia pada rakan tahaluf bukan parti sendiri, ini silap. Kalau kita wala’ Allah memelihara kita namun jika berlaku sebaliknya, sama dia melompat atau ditendang keluar daripada parti,’’ katanya.

 

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, dalam ge­rakan Islam ini, seluruh ahli perlu menjaga kerahsiaan parti terutama dalam sesuatu urusan atau strategi melibatkan parti.

 

‘‘Setiap pemimpin dan petugas antara kita juga perlulah menjaga posisi masing-masing dalam melakukan gerak kerja dakwah, tarbiyah dan siasah,’’ katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, Pas adalah sebuah parti yang mempunyai dasar, matlamat dan perjuangan yang tidak boleh dipinda iaitu menegakkan Islam.

 

Katanya, Pas juga menggunakan pendekatan yang lebih strategik pada hari ini iaitu meramaikan kawan bukannya musuh.

 

‘‘Atas konsep inilah kita mendekatkan diri dengan parti-parti politik dan mereka yang mempunyai perbezaan boleh dimaafkan,’’ katanya. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...