LONDON – Seorang pedofil warga Britain berhadapan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah mencabul dan membuat serangan seks terhadap kanak-kanak semuda 6 bulan, sebahagian daripadanya datang dari keluarga miskin di Malaysia.
Richard Huckle, 30, mengakui mengambil gambar dan video mangsa yang dicabulnya sebelum memuat naik ke laman web.
Pihak penyiasat turut menemui lebih 20,000 imej tidak sopan, lejar menyimpan maklumat mangsa dan serangan serta manual catatannya yang dinamakan “Paedophiles And Poverty: Child Lover Guide”.
Maklumat terperinci mengenai perlakuan Huckle muncul pada hari pertama sesi pendengaran untuk menjatuhkan hukuman yang berlangsung di mahkamah di London pada Rabu.
Huckle sebelum ini berhadapan 91 dakwaan termasuk terhadap 23 kanak-kanak berasal dari Kuala Lumpur, dimana dia pernah menjadi guru bahasa Inggeris.
Mangsanya berusia di antara enam bulan sehingga 12 tahun dan kesalahan dilakukan dari 2006 dan 2014.
Menurut pendakwaraya, Brian O’Neill, gambar terbabit sering dikongsi dengan pedofil yang lain.
Huckle ditahan di Lapangan Terbang Gatwick pada Disember 2014 ketika dia pulang dari Malaysia untuk bercuti musim Krismas .
Dia pada awalnya menafikan perbuatannya, namun akhirnya membuat pengakuan.
Hakim Peter Rook berkata beliau mempertimbangkan kemungkinan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana jenayah berat yang dilakukan Huckle. – Awani