ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah disahkan mengalami komplikasi usus dan memerlukan pemantauan pakar di Kedah Medical Centre (KMC).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, Ahmad Bashah bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan tidak serius.
“Ahmad Bashah kini mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan diharapkan akan dipindahkan ke wad biasa dalam masa terdekat.
“Saya ingin meminta orang ramai supaya mendoakan kesihatan Menteri Besar kembali pulih seperti biasa,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan isteri, Puan Seri Tengku Maliha Tengku Ariff berkenan meluangkan masa melawat Ahmad Bashah.
Turut kelihatan di KMC ialah Pengasas D’Herbs Healthy Sdn. Bhd., Datuk Aliff Syukri Kamarzaman yang memberikan buah tangan kepada isteri Ahmad Bashah, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Ahmad Bashah dikejarkan ke KMC selepas pitam pada pukul 7.30 malam ketika menghadiri satu mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Hotel Grand Alora, di sini semalam.