Oleh : Wan Nasrah Abdul Rahim
KUALA KANGSAR – Calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menafikan dakwaan beliau dipaksa bertanding bagi mewakili parti itu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan rela hati dan tiada sesiapa yang memaksanya untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Itu tak benar (dipaksa bertanding). Saya tidak dipaksa jadi calon. Ia di buat dengan kerelaan hati saya kerana Allah SWT,” kata Mastura di kediamannya selepas selesai proses penamaan calon pagi tadi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan mengenai isu beliau yang bukan calon anak tempatan, beliau berkata perkara itu tidak perlu dijadikan isu kerana beliau bersama Allahyarham (Wan Khair-il) sudah menetap di sini sejak 27 tahun lalu.
“Saya berkahwin dengan anak jati Kuala Kangsar dan saya juga telah menetap di sini selama 27 tahun, soal calon tempatan bukan lagi isu.
“Jika saya ditakdirkan menang sekalipun dan memerlukan saya mewakili Kuala Kangsar di parlimen, saya yakin rakyat akan memahaminya,” katanya.
Sehubungan itu, menurut Mastura, beliau akan meneruskan projek menaik taraf kawasan pesisir Sungai Sayong yang menjadi hasrat arwah suaminya, demi membangunkan kawasan tersebut.
Tambahnya, walaupun tidak turun berkempen dalam PRK itu, beliau sangat mengharapkan jentera BN untuk membantu kemenangannya.
“Saya harap walaupun menjalani tempoh edah, rakan-rakan di luar sana akan membantu parti untuk meraih kemenangan.
“Saya harus meletakkan hukum lebih utama daripada segalanya supaya kita semua akan mendapat keredaan Allah SWT,” tambah Mastura,”katanya.
Mastura menambah, anaknya juga bakal berkempen bahkan beliau yakin, anak-anaknya, Wan Emir Astar, 26, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar,23, dan Wan Muhammad Amar, 19 bakal meyakinkan pengundi di kawasan itu bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan suaminya.
Terdahulu, Mastura bakal berdepan lawan dari PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, calon AMANAH, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.-SuaraTV