WASHINGTON – Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau berpendapat tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan yang dipegangnya dalam entiti berkaitan kerajaan adalah langkah terbaik.
“Tentunya sukar (bagi) pihak kerajaan jika seseorang yang tidak bersama dengan dasar kerajaan dan pada waktu yang sama memegang pelbagai jawatan dalam badan dan syarikat berkaitan kerajaan, walaupun ia hanya sebagai penasihat,” katanya kepada wartawan Malaysia bersempena lawatan kerjanya di sini Khamis malam.
Dr Mahathir pada Rabu meletakkan jawatan sebagai pengerusi Proton Holdings Bhd (Proton), pengerusi Group Lotus Plc, Canselor Universiti Teknologi Petronas, Penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Penasihat Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).
Ahmad Zahid, ketika diminta mengulas tindakan bekas perdana menteri itu, berkata ia memperlihatkan Dr Mahathir faham dengan apa yang perlu dilakukannya apabila tidak lagi mendukung dasar kerajaan.
Pada 11 Mac, Kabinet memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas.
Pada 29 Feb lepas, Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO, menyatakan sudah hilang kepercayaan terhadap parti.
Ahmad Zahid berkata walaupun Proton bukan syarikat kerajaan, namun ia mempunyai hubungan dengan Dasar Automatif Negara dan tentunya syarikat pengeluar kereta itu memerlukan beberapa sokongan teknikal dan kewangan daripada pihak kerajaan.
Ditanya mengenai kedudukan Dr Mahathir dalam Yayasan Kepimpinan Perdana pula, Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini tiada desakan supaya beliau melepaskan jawatan sebagai presiden kehormat. – Bernama