KUALA LUMPUR – Penyanyi, Siti Sarah Binti Raisuddin atau lebih dikenali sebagai Siti Sarah meluahkan perasaan kesal dan sedih di akaun Instagramnya apabila hidungnya menjadi bahan ejekan peminat.
Siti Sarah yang merupakan isteri kepada pelawak, Shuib Sepahtu meluahkan kekesalannya susulan ada peminat yang menyamakan hidungnya seperti hidung hippo (badak air) dan tak kurang juga yang menganggap rupa hidungnya begitu buruk.
“Saya teringin sangat nak tau, sebagai manusia biasa, apakah yg akan anda lakukan sekiranya orang mengutuk dan meghina pada rupa anda?,” soal Siti Sarah di status tersebut bersama paparan skrin dua peminat yang menghinanya.
Beliau turut berkongsi kisah zaman silam apabila turut diejek rakan-rakan sekolah sejak dari kecil kerana bentuk hidungnya.
“Ketika bersekolah tadika ada budak panggil saya, hidung awak macam babi, saya marah dan membalasnya dengan gelaran nenek kebayan, lalu budak tu marah dan menangis sebab panggilan itu. Namun, biasa la budak-budak, masuk sekolah rendah sama jugak.
“Tapi saya dah biasa. Masuk sekolah menengah hampir setiap hari kene ejek pasal hidung sampai kadang-kadang mengelak naik bas dan saya tunggu bila orang tak ramai baru naik bas,” luahnya.
Bagaimanapun, Siti Sarah tetap berkata ia mengambil perkara itu sebagai satu yang positif dan mengakui menemui kebahagiaan dalam hidupnya. Apatah lagi kini, dia dianugerahkan tiga orang anak dan suami yang penyayang.
Sehubungan itu, rata-rata pengikutnya di Instagram memberikan kata semangat dan memberi sokongaan sepenuhnya kepada penyanyi itu agar meneruskan kehidupan tanpa melayani perkara tersebut.
Segelintir peminatnya turut mengecam tindakan dan perbuatan mereka yang sentiasa menghina manusia lain.
“Yang mengata tu macam dah sempurna, jahat-jahat aku pun tak main (perlekeh) fizikal orang. Kurang kasih sayang betul,” komen uglyduck_ts di status Instagram Siti Sarah.
Mereka turut berpendapat bahawa yang menciptakan manusia adalah Allah s.w.t dan mereka yang menghina ibarat mengkritik dan menghina Allah s.w.t.
“Siti Sarah cantik je, kat mana yang buruk tak nampak pun. @nietaoctober tu hina ciptaan Allah sambil sebut nama Allah, memang tak tahu hukum hakam Islam, buat malu orang Islam je,” ulas hunneydzafry merujuk pada penghinaan oleh seorang peminat yang menggunakan identiti nietaoctober. – SuaraTV