KUALA LUMPUR – Stadium Darul Aman kelihatan sukar untuk ditawan oleh penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mereka hanya seri 1-1 dengan Kedah manakala Kelantan meraih kemenangan pertama selepas kali terakhir memperoleh mata penuh pada 12 Mac lalu.
JDT, yang sebelum ini tewas 2-1 kepada Kedah dalam separuh akhir pertama Piala FA, kelihatan akan mengulangi kekalahan itu di Stadium Darul Aman apabila ketinggalan seawal minit pertama.
Kelekaan barisan pertahanan JDT yang membiarkan Baddrol Bakhtiar bergerak bebas dalam kotak penalti sekali gus memudahkannya melakukan sepakan leret untuk menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan selepas menerima hantaran Farhan Roslan dari sebelah kiri.
Bagaimanapun JDT menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti penyerang dari Argentina, Juan Martin Lucero pada minit ke-45 setelah rakan senegaranya Jorge Pereyra Diaz dijatuhkan pertahanan Kedah, Bang Seung Hwan.
Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan menumpaskan Terengganu 3-0 yang pastinya menambah tekanan kepada skuad Penyu.
Kelantan memecah kebuntuan jaringan seawal minit ke-13 menerusi rembatan jarak dekat Wan Zack Haikal Wan Noor sebelum menambah dua gol selepas rehat menerusi Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan pemain gantian Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi.
PDRM pula menyekat Selangor untuk meraih kemenangan kelima apabila mengikat The Red Giants dengan keputusan seri 0-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Sarawak, yang dibelasah 5-2 oleh JDT sebelum ini, menggunakan kelebihan bermain di Stadium Negeri untuk menyekat Pahang, yang sedang meningkat prestasinya, apabila seri 1-1.
Junior Aparecido meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-29 tetapi harapan mereka untuk meraih tiga mata dihampakan oleh gol penyamaan Pahang pada minit ke-55 hasil percubaan Dalibor Volas. – Utusan