KOTA TINGGI – Seorang peneroka Felda Sungai Mas di sini terkejut apabila seekor kambing betinanya melahirkan anak yang ganjil sifatnya apabila mempunyai wajah seakan-akan menyerupai bayi manusia.
Jamaludin, 50, menemui keganjilan tersebut selepas memeriksa kandang kambing yang diusahakan bersama rakan kongsinya Ibrahim Basir, 63, pada jam 11 pagi kelmarin.
“Selepas dimaklumkan mengenai ‘benda ganjil’ itu, saya segera memeriksa dan mendapati keadaan fizikalnya tidak seperti kambing lain.
“Termasuk berhidung pesek, bermulut lintang dan empat kakinya juga pendek berbanding kambing lain,” kata Ibrahim dipetik dari laporan Harian Metro.
Ibrahim mengakui penemuan pelik itu pertama kali berlaku sepanjang beliau mengembala kambing sejak 2007.
Katanya lagi, kelahiran anak kambing itu juga berbeza dari yang lain kerana tidak mempunyai tali pusat.
“Itu membezakan anak kambing ini dengan yang lain. Ini kerana selalunya setiap anak kambing dilahirkan mempunyai tali pusat,” katanya dalam laporan yang sama.
Mengulas lanjut, Ibrahim menjelaskan anak kambing itu bagaimanapun tidak dapat hidup lama dan kes berkenaan akan dirujuk ke pejabat veterinar berhampiran.
“Buat masa ini saya menyimpan anak kambing itu di dalam kotak polisterin bersama ketulan ais,” ujarnya lagi. – SuaraTV