Bertuahnya! Bagi penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar mendedahkan anak ketiganya Muhammad ‘Ali yang dilahirkan pada 19 September lalu adalah cahaya mata yang dinanti-nantikan keluarganya.
Kata Alif, sepanjang tiga generasi kebanyakan ahli keluarga sebelah ibunya terdiri daripada saudara-mara perempuan melainkan Alif sendiri.
“Dalam generasi ketiga dia menjadi anak lelaki pertama. Adik beradik ibu saya semuanya perempuan dan sepupu saya juga semua perempuan.
“Manakala, adik-beradik saya juga semua perempuan, sama juga anak saudara saya. Saya satu-satunya anak lelaki.
ARTIKEL LAIN [Panduan Bersihkan Najis Anak. Berguna Untuk Ada Anak Kecil. Tak Ragu, Solat Pun Sah]
“Jadi kelahiran Muhammad ‘Ali buatkan ramai teruja dan cahaya mata lelaki yang ditunggu-tunggu ramai sejak sekian lama,” kongsi Alif.
Berkongsi semula detik kelahiran anak lelaki pertamanya, cerita Alif dia hampir terlupa dengan hari jadinya yang jatuh pada tarikh sama dengan waktu kelahiran ‘Ali.
“Alhamdulillah anak lelaki saya memberikan satu kegembiraan yang berbeza dalam keluarga kami kerana dia lahir sama dengan tarikh hari jadi saya.
“Pada hari itu saya sudah tak fikir apa selain melihat isteri saya bertarung nyawa dan menantikan anak saya dilahirkan.
“Tepat pukul 11.21 malam, ‘Ali dilahirkan secara normal namun dimasukkan dalam Unit Rawatan Rapi selama lima hari kerana demam kuning,” ujarnya.
Alif dan isteri Sha Dila Halid mendirikan rumah tangga pada September 2014 dan dikurniakan cahaya mata perempuan Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2 tahun.
Sha Dila pernah mengalami keguguran pada awal tahun ini namun disahkan hamil semula tidak lama selepas itu.
Sumber: Gempak & ig Alif Satar