loading...

Azura Cinta Hati Datuk Jamal. Sanggup Bangun Tengah Malam Selepas 13 Tahun ‘Rehat’

“Alhamdulillah, Nur Azura Yamani anugerah terindah daripada Allah kerana sudah lama saya menanti kehadiran cahaya mata perempuan sekali gus melengkapkan rumah tangga,” kata penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah ketika berkongsi berita kelahiran anak perempuannya, Nur Azura Yamani yang selamat dilahirkan pada petang Khamis lalu.

Menurut Jamal, 60, isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, selamat melahirkan anak perempuannya itu secara pembedahan di pusat perubatan swasta di Shah Alam.

“Isteri dimasukkan ke wad bersalin Rabu dan pada jam 5.35 petang (Khamis), pembedahan selamat dijalankan.

“Saya bersyukur isteri selamat melahirkan bayi perempuan kami yang sihat, putih melepak dan seiras wajah saya seberat 2.7 kilogram,” katanya kepada Harian Metro.

Nama Azura Paling Dekat Di Hati  

Berkongsi pemilihan nama Azura, sebelum ini Jamal pernah berkongsi sebaik tahu jantina anak dalam kandungan isterinya terus terlintas nak berikan nama Azura.

Jelas Jamal nama itu dipilih kerana merasakan begitu dekat di hatinya sejak dahulu lagi apatah lagi turut mempunyai single popular berjudul Azura yang menjadi runut bunyi kepada filem Azura (1984)

“Saya namakan Nur Azura Yamani kerana nama itu begitu dekat dan sudah lekat dengan saya sejak dahulu lagi. Ke mana sekali pun, orang pasti akan kaitkan saya dengan Azura,” katanya.

Sanggup Bangun Tengah Malam Bantu Isteri

Menurut Jamal, harapannya untuk anak perempuannya itu adalah untuk melihat Nur Azura membesar menjadi anak yang solehah.

“Sebagai bapa, saya akan berikan dia pendidikan terbaik terutama hal berkaitan agama,” katanya ketika berkongsi perancangan untuk masa depan anak perempuannya itu.

Jamal mengakui berasa kekok untuk menjaga bayi pada usia sekarang.

“Maklumlah, sudah lebih 13 tahun saya tidak ada anak kecil. Anak kedua saya, Zaki kini sudah berusia 13 tahun.

“Namun, demi Nur Azura saya sanggup bangun tengah malam untuk membantu isteri menyusukannya dan menukar lampin,” katanya.

Ditanya sama ada dia merestui jika Nur Azura mengikut jejaknya menjadi anak seni, Jamal berkata, dia tidak dapat menghalang perkara itu daripada berlaku.

“Dua anak saya, Osama dan Zaki juga meminati bidang seni. Saya tidak menyokong atau menggalakkan mereka.

“Apa yang penting, mereka perlu menamatkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi dulu,” katanya.

Mengulas keadaan Zai Izzati pula kata Jamal, isterinya menjalani tempoh berpantang di kediaman mereka di Shah Alam.

Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Sumber: Harian Metro

Previous
Next Post »
loading...