loading...

Belum Rezeki Jadi Ibu. Jangan Salahkan Diri Sebab Tak Mampu Jaga Kandungan

Ibu yang pernah mengalami keguguran, perit jika teringat kembali momen hamil tetapi kemudian disahkan kandungan itu tidak dapat diselamatkan. Keguguran boleh terjadi kerana pelbagai faktor. Hamil pada lewat usia adalah salah satu daripadanya. Pun begitu, jika anda masih merancang untuk hamil pada usia-usia tertentu, dapatkan nasihat dari doktor. Jika tahap kesihatan mengizinkan, hamil bukan satu masalah.

Mungkin ramai yang kurang peka, tarikh hari ini rupanya adalah tarikh memperingati keguguran sedunia. Di dalam perkongsiannya melalui laman Facebook, Dr Muhammad Izzat Abd Razak ada berkongsi sedikit info berkaitan keguguran yang berulang.

15 Oktober – Hari memperingati keguguran sedunia yang disambut setiap tahun. Jom baca pasal keguguran berulang-ulang ( recurrent miscarriages)

Artikel Menarik: [Biarpun Berhabis Buat IVF, Tak Kisah Langsung! Demi Merasa Nikmat Dukung Anak Sendiri]

Apakah keguguran ?

Kehilangan bayi sebelum 24 minggu kehamilan dipanggil keguguran. Jika ianya berlaku pada 3 bulan pertama kehamilan dipanggil keguguran awal. Keguguran awal adalah perkara yang biasa berlaku 10-20 kes dalam 100 kehamilan ( 10-20%)

Keguguran lewat berlaku selepas 3 bulan pertama kehamilan, tidak biasa berlaku 1-2 kes dalam 100 kehamilan ( 1-2%)

Apakah keguguran berulang-ulang ?

Bila keguguran berlaku 3 atau lebih berturut-turut dipanggil sebagai keguguran berulang ( recurrent miscarriages ). Berlaku dalam 1 dalam 100 pasangan yang cuba untuk mendapatkan zuriat.

Kenapa berlakunya keguguran berulang-ulang dan keguguran lewat kehamilan?

Artikel Menarik: [Bila Semua Benda Share Dengan BFF, Tahu-Tahu Mengandung Pun Sekali!]

Kadang-kadang doktor dapat mengenalpasti sebab-sebab berlakunya keguguran lewat kehamilan. Walaubagaimanapun dalam kebanyakkan kes, doktor tak dapat mengenalpasti sebab-sebab berlakunya keguguran ini, lebih-lebih lagi jika semua ujian yang dijalankan adalah normal belaka.

Ada beberapa faktor yang dikenalpasti mungkin menyumbang kepada keguguran lewat kehamilan

UMUR
Semakin berusia wanita itu, semakin tinggi peluangnya untuk mendapat keguguran. Jika wanita berusia lebih 40 tahun, lebih 1 dalan 2 ( 50%) kehamilan akan berakhir dengan keguguran. Bukan sahaja wanita, jika suaminya berusia pun, peluang untuk keguguran tinggi.

ANTIPHOSPHOLIPID SYNDROME ( APS)
APS adalah sindrom dimana darah seseorang wanita itu senang membeku dan menyumbang kepada keguguran berulang dan keguguran lewat kehamilan

FAKTOR GENETIK
2-5 dalam 100 pasangan ( 2-5%) yang mengalami keguguran berulang, salah satu pasangannya akan ada ketidaknormalan salah satu kromosom ( struktur genetik yang terkandung dalam sel manusia yang mengandungi DNA dan perwarisan dari ayah ibu ). Walaupun masalah genetik ini mungkin tidak menujukkan apa-apa masalah pada ayah atau ibu, tetapi ianya boleh menyebabkan keguguran.

PANGKAL RAHIM YANG LEMAH
Kelemahan pangkal rahim ( cervical incompetence ) boleh menyebabkan keguguran dalam 14 hingga 23 minggu kehamilan. Susah sikit untuk mengenalpasti keadaan pangkal rahim lemah ini untuk wanita yang tak mengandung. Mungkin ini adalah penyebabkan keguguran jika kehamilan sebelumya gugur dengan cara air mentuban pecah awal, ataupun pangkal rahim membuka awal walaupun si ibu tiada rasa sakit pun

PERKEMBANGAN BAYI TAK NORMAL
Perkembangan bayi yang tidak normal boleh menyebabkan keguguran tapi bukan penyebab keguguran berulang.

JANGKITAN KUMAN
Sesetengah jangkitan kuman yang sebabkan ibu menjadi tidak sihat boleh menyebabkan keguguran. Walaubagaimanapun bagaimana jangkitan boleh menyebabkan keguguran ini masih lagi dalam kajian dan kesahihannya masih belum pasti.

BENTUK RAHIM
Tidak sahih lagi faktor bentuk rahim yang tak normal boleh menyebabkan keguguran

KENCING MANIS & MASALAH TIROID
Kencing manis dan masalah tiroid yang tidak terkawal boleh menyebabkan keguguran, walaubagaimanapun ianya tidak menyebabkan keguguran berulang-ulang asalkan masalah kencing manis dan tiroid ini dirawat dan dikawal sebaiknya.

FAKTOR IMUN ( Immune Factors )
Ada kajian mengatakan wanita keguguran disebabkan sistem imun mereka tidak berfungsi secara normal, dinamakan sebagai alloimmune reaction. Walaubagaimanapun, takda bukti sahih lagi yang menyokong kenyataan ini. Lebih banyak kajian diperlukan.

Berat badan berlebihan

Merokok, pengambilan kaffein dan alkohol secara berlebihan.

❗️Peluang untuk keguguran lagi meningkat bila berlakunya satu keguguran. Wanita dengan 3 kali keguguran berturut-turut ada risiko 4 dalam 10 peluang untuk mengalami keguguran sekali lagi.

Penyiasatan yang boleh dilakukan untuk keguguran berulang-ulang :

⭐️Ujian darah – mengenalpasti Antiphospholipid syndrome dan thrombophilia
Ujian darah untuk mengenalpasti ketidaknormalan kromosom jika bayi menunjukkan kromosom yang tidak normal.

⭐️Ujian darah untuk menentukan jangkitan kuman

Rawatan akan diberikan berdasarkan sebab-sebab berlakunya keguguran berulang-ulang ini. Jika doktor tidak dapat mengenalpasti sebab selepas melakukan pemeriksaan serta ujian-ujian yang berkenaan, wanita itu tidak perlu menerima rawatan.

Wanita dan pasangan sepatutnya mendapat rawatan serta kaunseling oleh pakar. Wanita yang mendapat sokongan perubatan dari awal kehamilan mempunyai peluang untuk mendapatkan kehamilan yang sihat. Walaupun tidak dapat mengenalpasti sebab-sebab keguguran berulang-ulang ini, 75 dalam 100 kes ( 75%) akan berjaya hamil sehingga kehujungnya.

Tenangkan hati dan ingat bahawa kebanyakkan pasangan akan berjaya dengan kehamilan, walaupun pernah gugur 3 kali berturut-turut.

Allah ada perancangan yg lebih baik ðŸ’ª

Bagi ibu yang mungkin mahu hamil semula selepas mengalami keguguran, fahami penulisan Dr Muhammad Izzat ini. Semoga ia membantu dan dapat memberi penerangan lanjut tentang topik ini pada anda.

Sumber: Dr Muhammad Izzat Abd Razak

Previous
Next Post »
loading...