Pengambilan Asid Folik memang amat disarankan kepada wanita yang ingin hamil dan juga sedang hamil. Ia penting dalam penghasilan sel darah merah dan sel-sel lain di dalam tubuh seperti kuku, rambut, kulit, saraf dan otak. Oleh itu ia amat disarankan oleh doktor untuk wanita hamil bagi pertumbuhan janin yang sihat dan sempurna serta kesihatan wanita itu sendiri. Pengambilan supplement asid folik dapat membantu mengelakkan janin daripada mengalami kecacatan kongenital utama otak atau tulang belakang, termasuk kecacatan tiub neural, seperti spina bifida dan anencephaly ( kepala bayi kecil atau tiada kepala).
Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Muhammad Kalam Izzat Din Che Darus, menerusi Facebook miliknya seorang lelaki yang hanya sempat menjadi bapa selama 18 jam meluahkan isi hatinya sebelum anak sulungnya meninggal dunia pada 22 Julai yang lalu sehari selepas bayi ini dilahirkan.
Bayi yang diberi nama Muhammad oleh Muhammad Kalam dan isterinya, Nurul Aisha Nabilla Abdul Razak, meninggal kerana mengalami kecacatan otak sejak dalam kandungan lagi. Menurut Muhammad Kalam penyakit itu dikesan ketika kandungan isteri, Nurul Aisha Nabilla Abdul Razak, 22, berusia tujuh bulan sewaktu mereka membuat imbasan 3D di sebuah klinik.
Dalam perkongsian tersebut juga Muhammad Kalam menyatakan salah satu faktor yang menyebabkan kecacatan otak pada bayinya itu kerana kekurangan asid folik sebelum mengandung dan pada awal kandungan.
Jelasnya juga isterinya mengalami alahan teruk ketika mengandung hingga kurang selera makan dan kerap muntah. Keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat mengambil Acid Folik secara konsisten.
Anak ada kecacatan otak, mampu bertahan 18 jam sahaja
Pada hari khamis 4 Julai 2019 merupakan mimpi ngeri buat ibu dan abi. Pada tarikh itu kami membuat temujanji untuk menjalani ujian detail scan bersama doktor pakar dan mendapati anak kami abnormal baby(anencephaly) semasa scan.
Anencephaly adalah baby yang lahir tanpa otak atau kecacatan otak. Otak tak terbentuk dengan sempurna. Baby yang lahir dengan masalah ini sangatlah berisiko. Baby anecephaly tak boleh hidup lama.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah kekurangan asid folik sebelum mengandung dan pada awal kandungan.
Masa scan adik aktif sangat. Siap tendang-tendang lagi perut ibu. Adik macam sorokan je kat ibu dan abi masalah adik. Dua orang doktor pakar scan adik untuk sahkan adik anencephaly.
Pilih bersalin awal, tak sanggup tengok janin dalam kandungan tanggung sakit
Doktor pakar bagi ibu dan abi dua minggu untuk tenangkan fikiran dan membuat kata putus keputusan kami. Jika bersalin awal ataupun bersalin normal jangka hayat adik tidak tahan lama. Mungkin satu jam dua jam. Ataupun paling lama 2-3 hari.
Kandungan kami semasa detail scan berusia 7bulan, lagi dua bulan je adik nak due baru dapat tahu adik tak sihat dalam rahim ibu.Due adik dijangka 30 september tetapi kami memilih untuk bersalin awal untuk kebaikan bersama dan tidak sanggup tengok adik sakit.
Susah untuk terima semua ini, ibu siang malam menangis tanpa henti ingatkan keadaan adik. Segala kelengkapan baby sudah kami beli untuk menanti kehadiran adik. Sungguh besar ujian Allah kepada kami.
Selama 5 bulan lebih ibu alahan, makan tak lama terus muntah2.Tiap malam sebelum ibu tido abi kena gosok belakang baru ibu boleh tidur. Pengalaman ini abi tidak akan lupakan sampai bila-bila.
Kami cuba pergi ke klinik swasta membuat 3d scan untuk mendapatkan kepastian. Tapi sayang adik tak mahu tunjuk wajah adik dekat ibu dan abi. Adik tutup dengan kaki dan tangan adik atas kepala semasa dalam kandungan ibu. Doktor cakap air ketumban sedikit dan menyukarkan ibu melihat dengan lebih jelas. Puas abi usik adik tapi adik tetap tidak mahu tunjuk. Mungkin adik tak nak ibu dan abi sedih tengok keadaan fizikal adik.
Enam hari dalam wad, baru isteri bersalin, sempatkan azankan anak
Ibu dan abi terkilan kerana tidak dapat menjaga adik sehingga besar. Adik ialah anugerah terindah abi pernah dapat. Saat-saat bersama adik 7 bulan 2 minggu dalam kandungan ibu takkan pernah abi lupakan. Terima kasih ya Allah bagi pinjam adik dalam rahim ibu selama 30 minggu ini.
Pada 16 julai semasa berjumpa doktor, saya dan isteri bersetuju untuk ditahan diwad dan dimasukan ubat bagi bersalin awal. Setelah enam hari berada diwad adik baru keluar. Pada 21 julai tepat 1410h adik dilahirkan. Alhamdulillah abi org pertama dapat azankan adik.
Abi bersyukur sangat-sangat dik dapat dengar adik menangis walaupun doktor cakap jangka hayat adik tidak lama. Pada pagi harini adik tinggalkan kami pada jam 0810 pagi. Semangat adik untuk hidup kuat walaupun hanya 18jam. Terima kasih Allah bagi anugerah terindah buat kami.
Seru wanita lain untuk ambil asid folik sebelum dan ketika hamil
Saya menyeru kepada para wanita diluar sana supaya mengambil asid folik sebelum mengandung dan pada awal kandungan sebagai persediaan awal bagi mengelakkan unplanned pregnancy yang lead to komplikasi. Mungkin salah ibu dan abi tak prepare dulu sebelum mengandung.
Saya harap kisah saya dijadikan pengajaran buat bakal-bakal ibu yang tahu mengandung tapi mengabaikan kepentingan vitamin ini. Saya mohon anda share dan tag untuk bakal2 ibu nanti sebagai persediaan awal mengandung dan pada awal kandungan. Mencegah lebih baik dari mengubati, namun ingatlah Allah sebaik-baik Perancang.
Abi bersyukur Allah uji ibu dan abi.Allah pilih kami untuk terima ujian yang sebesar ini dan benda yang paling mahal abi dan ibu pernah dapat iaitu anak syurga. Semoga kesedihan ibu dan abi pada harini Allah gantikan dengan kebahagian pada hari-hari akan mendatang. Ingatlah Allah sayang kita sebab tu Allah uji kita. Yang penting kita redha dan ikhlas atas setiap ujian yang diberikan. Janji Allah itu Pasti.
sumber: Kalam Izzat