loading...

Tali Pusat Bayi Pendek, Berisiko Untuk Rahim Ibu Terkeluar Secara Songsang Lepas Bersalin

Beberapa hari lepas kecoh apabila sebuah kes seorang ibu muda meninggal dunia selepas bersalin akibat rahimnya terkeluar menyongsang semasa proses mengeluarkan uri dilakukan. Bagi menerangkan kejadian ini, Dato‘ Dr Rushdan Noor, Pakar Obstetrik & Ginekologi berkongsi penulisannya melalui laman Facebook Medical Mythbusters Malaysia.

RAHIM MENYONGSANG (UTERINE INVERSION)
Baru-baru ini disiarkan berita kejadian yang berlaku di negara Rusia di mana seorang ibu meninggal dunia apabila rahim beliau terkeluar menyongsang semasa proses mengeluarkan uri dilakukan.

Rahim menyongsang (“turned inside out”) ataupun “uterine inversion” adalah salah satu komplikasi kelahiran yang serius berlaku selepas bayi dilahirkan. Ia boleh berlaku dengan sendiri apabila tekanan tinggi dalam rongga abdomen dikenakan ke atas rahim yang tidak mengecut dengan baik. Ia juga boleh disebabkan oleh kedudukan uri di bahagian bumbung rahim dan melekat pada dinding rahim.

Artikel Menarik: [Masih Tak Bersalin Walau Dah Sampai Waktu. Risiko Anak Tertelan Najis]

Apabila uri ini cuba dikeluarkan, ia tidak terpisah dari dinding rahim sebaliknya menarik dinding rahim bersama turun ke bawah hingga keluar menerusi faraj secara menyonGsang. Dalam keadaan ini, bahagian rahim yang sepatutnya berada di atas berpindah ke bawah dan pangkal rahim tertinggal di atas. Bahagian rahim tersebut boleh keluar melalui faraj dan kelihatan seperti ketumbuhan besar.

Rahim menyongsang berbeza dengan rahim turun (“uterine prolapse”) kerana rahim yang turun masih mengekalkan bentuk yang normal. Rahim turun adalah umpama anda menuruni tangga dengan kepala di atas tetapi rahim terbalik adalah umpama anda menuruni tangga dengan kepala anda di bawah. Rahim benyongsang dikategorikan kepada beberapa tahap berdasarkan kepada kedudukan bumbung rahim (fundus) yang terkeluar. Di negara kita juga pernah berlaku komplikasi ini tetapi semakin berkurangan pada masa ini disebabkan oleh peningkatan proses kelahiran selamat yang dikendalikan oleh petugas terlatih.

Rahim yang keluar menyongsang ini boleh menyebabkan pendarahan yang banyak dan boleh mencetus renjatan saraf vasovagal. Ia juga boleh menyebabkan jangkitan rahim. Jika tidak dirawat segera wanita tersebut boleh mati. Kejadian rahim menyongsang ini dianggap satu keadaan kecemasan dan jika ditangani pada peringkat awal, rahim itu dapat dikembalikan pada kedudukan asal dan pesakit dapat diselamatkan.

Jika rahim gagal dikembalikan dengan kaedah manual, pembedahan perlu dilakukan untuk memulihkan rahim tersebut tetapi kadangkala doktor mungkin perlu melakukan pembedahan mengeluarkan rahim jika pendarahan tidak dapat dihentikan.

Di antara risiko kejadian rahim menyongsang adalah ibu-ibu yang pernah mengalami komplikasi ini di masa dahulu (berulang), kedudukan uri berada di bahagian bumbung rahim (fundus), uri yang melekat kuat pada dinding rahim (“placenta accreta”) dan tali pusat bayi yang pendek. Ia juga boleh berlaku jika kelahiran dikendalikan oleh petugas yang tidak terlatih ataupun tergesa-gesa menarik keluar uri sebelum uri terpisah dari dinding rahim.

Artikel Menarik: [Epidural Untuk Kurangkan Sakit Kontraksi, Tapi Ada Yang Memandai Kata Boleh Jadi Lumpuh]

Terdapat juga ibu yang mengalami rahim menyongsang secara spontan dan tidak diketahui punca yang sebenarnya. Ini menunjukkan betapa pentingnya kelahiran dikendalikan oleh petugas yang terlatih di fasiliti yang selamat. Jika perkara berlaku di rumah maka peluang untuk menyelamatkan ibu sangat tipis.

Artikel Menarik: [Bersalin Caesar, Anak LEpas Tu Nak Cuba Normal. Boleh Buat, Tapi Kena Tahu Kemampuan Diri]

Rahim yang menyongsang bukan semuanya berlaku ke atas ibu yang melahirkan anak tetapi juga wanita-wanita yang tidak hamil. Wanita ini mengalami penyakit ketumbuhan fibroid pada bahagian atas rongga rahim, apabila fibroid ini membesar ia akan mengisi rongga rahim dan keluar menerusi rongga pangkal rahim ke dalam faraj, akibat dari tarikan dari fibroid yang membesar ini, bumbung rahim akan ditarik turun dan masuk ke dalam faraj. Disebabkan oleh proses rahim menyongsang ini berlaku dalam jangkamasa yang panjang ianya dikenali sebagai rahim menyongsang yang kronik (“chronic uterine inversion”).

Sumber: Dato’ Dr Rushdan Noor via Medical Mythbusters Malaysia

Previous
Next Post »
loading...