Minggu ini pemain muda negara, Luqman Hakim berjaya dinobatkan sebagai salah seorang dari 60 pemain remaja terbaik dunia oleh akhbar The Guardian. Artikel ini telah menimbulkan persoalan samada Luqman patut atau tidak diserapkan ke pasukan senior kebangsaan apatah lagi selepas kegagalan skuad negara menumbangkan Vietnam di Hanoi tempohari.
Pelbagai komen dikemukakan di media sosial oleh netizen. Kami di Ligakampung.com berpendapat bahawa belum masanya untuk Luqman berada di skuad senior. Ini antara alasan-alasan yang kami berikan :-
1) Belum bermain dalam Liga kompetitif. Dalam beberapa komen , ada yang membandingkan dengan pemain Thailand Suphanat Muenta. Tetapi perlu diingatkan bahawa Suphanat masih belum bermain untuk skuad senior Thailand dan beliau sebenarnya telah membuktikan kemampuan beraksi di Liga Thailand pada tahun lepas.
Ia berbeza dengan Luqman Hakim yang hanya berada dalam pasukan bawah 19 dan di Akademi Mokhtar Dahari sahaja. Kita belum nampak kemampuan beliau dari segi mental. Perlu diingat persaingan dengan orang lebih berusia bukan semata-mata hanya kepantasan dan skill. Ia menuntut kemampuan mental yang tinggi kerana pemain berusia memiliki pengalaman yang lebih. Pada pendapat kami, elok kiranya beri peluang untuk mendapat pengalaman di Liga Belgium terlebih dahulu.
Mungkin selepas itu, boleh dinilai semula untuk berada dalam skuad senior. Beri beliau peluang dahulu untuk menjadi pemain yang kompetitif. Ada juga yang bandingkan dengan Lionel Messi dan Ronaldo yang telah beraksi di peringkat tertinggi pada usia muda. Perlu diingat, mereka ini diintai oleh jurulatih kebangsaan selepas membuktikan kemampuan di Liga yang kompetitif. Pada kami, jangan hanya menilai berdasarkan prestasi di kejohanan sahaja. Ia belum cukup.
2) Kemampuan fizikal belum diketahui. Meskipun kita akui beliau mempunyai kelajuan, tetapi kita tidak tahu sejauh mana tahap fizikalnya. Pada usia ini memang mereka cukup bersemangat tanpa memikirkan risiko kecederaan. Sekarang ni, seorang pemain muda berbakat, Najmuddin yang juga pelajar Akademi Mokhtar Dahari (AMD) terpaksa berehat panjang akibat kecederaan ACL. Kami tidak mahu perkara ini berlaku pada Luqman.
Perlu diingat, kecederaan seperti ini mampu membunuh karier seseorang pemain. Meskipun ada pemain seperti Brendan Gan yang mempu bangkit selepas kecederaan ACL itu, tapi tak semuanya mampu. Ramai yang tersungkur selepas itu.
Cuba kita ingat kembali beberapa pemain yang pernah menjadi harapan seperti Wan Zack Haikal. Beliau juga adalah pemain harapan sedikit masa dahulu. Kepantasan serta skillnya cukup hebat tetapi kecederaan telah mengugat impian untuk melihat beliau menjadi pemain bertaraf dunia. Begitu juga dengan pemain yang pernah dinobatkan bakal Mokhtar Dahari, iaitu Akmal Rizal Akmal Rakhli. Skill dan kepantasannya memang mengkagumkan pada era tersebut namun kecederaan menyebabkan beliau hanya menjadi pemain biasa sahaja di hujung kariernya.
3) Sekiranya diserapkan ke skuad senior, pasti tekanan yang dihadapi cukup tinggi. Ramai yang ingin melihat beliau melakukan keajaiban. Adakah keajaiban mampu dilakukan secara berseorangan? Agak sukar bagi sukan berpasukan seperti bola sepak ini. Luqman memerlukan sokongan dari semua pihak. Sekiranya beliau tidak dapat bola yang baik, pasti sukar untuk melaksanakan tugas. Dan jika gagal, mungkin tekanan dari penonton akan lebih lagi. Adakah mereka yang mendesak untuk Luqman dimasukkan akan berada di belakangnya hatta bila beliau gagal?
4) Beri masa untuk pemain-pemain muda ini mendapatkan pengalaman. Selain Luqman, pemain-pemain dalam Bawah 23 juga perlu diberikan peluang. Safawi Rasid (22) dan Akhyar Rasid(20) masih muda serta boleh diharapkan.
5) Malaysia nampak ketandusan penyerang tetapi kita masih ada yang boleh diserapkan. Pemain yang pernah mencetuskan sensasi suatu masa dahulu, Rozaimi Abdul Rahman juga boleh dipanggil memandangkan prestasi beliau di JDT 2 agak baik sehingga membantu skuad tersebut menjuarai Piala cabaran 2019. Shahrel Fikri juga mempunyai sentuhan pemusnah begitu juga Syafiq Ahmad. Cuma percaturan Tan Cheng Hoe sahaja untuk memasukkan pemain-pemain ini.
Itu serba sedikit pendapat yang kami kemukakan. Apa pula pendapat anda?
Please follow and like us: