Tidak salah untuk mengajar ABC sebenarnya, cuma banyak lagi kemahiran-kemahiran lain yang boleh diajar pada mereka yang mana ianya lebih penting untuk perkembangan otak mereka dan dalam menjadi bayi yang lebih bijak yang mana ramai antara kita selalunya tidak sedar ianya adalah satu kemahiran yang penting. Jadi di sini saya berikan apakah kemahiran-kemahiran lain yang boleh diajar selain ABC.
UMUR : 0-6 BULAN
- Belajar beradaptasi dan membentuk hubungan dengan orang sekeliling. Ini penting untuk perkembangan social dan komunikasi mereka
- Mengenal objek sekeliling dan belajar melalui deria rasa, dengar, lihat, bau dan sentuh. Ini akan melatih sel-sel otak kanak-kanak untuk memproses setiap rangsangan dari deria yang berbeza dan menghubungkan kesemuanya menjadi sesuatu informasi yang akan disimpan untuk kegunaan yang seterusnya
- Meningkatkan kemahiran koordinasi tangan dan mata (eye-hand coordination) yang mana ianya merupakan latihan awal bagi kanak-kanak untuk mengkoordinasikan anggota badan mereka.
UMUR : 6 – 12 BULAN
- Belajar memahami “sebab dan kesan” yang mana mengajar kanak-kanak bahwa apa yang mereka lakukan akan memberikan sesuatu kesan samaada negatif atau positif. Ini ada penting bukan sahaja penting dalam dalam membentuk keupayaan berfikir mereka, malah ianya penting dalam membentuk sikap mereka.
- Meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar yang mana ianya penting untuk mobility mereka dan boleh meneroka dengan lebih baik.
- Mengajar kemahiran menyelesaikan masalah seperti memasukkan atau mengeluarkan barang dari tempat yang sempit. Ini boleh membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran berfikir dan kreativiti mereka.
- Mengajar kemahiran untuk meniru bunyi-bunyi pertuturan. Ini adalah sangat penting untuk kanak-kanak belajar bahasa dan berkomunikasi.
UMUR : 1 – 2 TAHUN
Belajar mempelajari bagaimana untuk menggunakan objek dan mengaitkan satu objek dengan objek lain seperti sudu dan cawan, kerusi dan meja, kunci dan pintu dan sebagainya. Ini akan meningkatkan kemahiran mereka untuk berfikir.
- Mempelajari kemahiran sosial dan berkongsi. Jadi nanti tak ada la komplen yang anak tak suka kongsi barang dengan orang lain.
- Belajar membentuk komunikasi dengan perkataan, gesture dan ekspresi muka. Bermula dengan satu perkataan dan akan berkembang mengikut umur. Ini akan membolehkan kanak-kanak menyampaikan mesej dengan lebih berkesan.
- Belajar meningkatkan keseimbangan badan dan koordinasi melalui pergerakan fizikal. Ini adalah penting kerana mereka perlu meneroka dengan lebih lagi selepas ini untuk mempelajari sesuatu yang baru.
UMUR : 2 -3 TAHUN
- Belajar meningkatkan kemahiran berfikir dan berimaginasi yang mana ianya akan membentuk kreativiti kanak-kanak.
- Belajar menyelesaikan masalah yang lebih kompleks dan mencabar otak mereka untuk berfikir dengan lebih lagi. Perlu diingat bahawa perkembangan kognitif dan mental kanak-kanak bukan dipelajari dari membaca, tapi dari pengalaman mereka meneroka alam sekeliling mereka.
- Belajar menggunakan bahasa yang lebih panjang dan berinformasi (2-3 patah perkataan) dimana ianya adalah sangat penting dalam komunikasi mereka. Bahasa pun perlu ada latihan seperti kemahiran-kemahiran yang lain.
- Meningkatkan keupayaan motor halus seperti memegang menggunakan jari dengan lebih baik. Ianya merupakan persediaan untuk mereka untuk memegang pensil, menulis dan mewarna nanti.
UMUR : 4 TAHUN DAN KE ATAS
- Meningkatkan kemahiran bersosial, berkongsi dan bermain secara berkumpulan. Ini penting dalam membentuk hubungan sosial dengan orang lain dan mempelajari tentang apa yang boleh dan apa yang salah semasa bersosial
- Meningkatkan kemahiran untuk memahami dan mengikut peraturan kerana ianya penting untuk membentuk sikap mereka
- Meningkatkan kemahiran imaginasi. Kemahiran ini juga diperolehi hasil dari pengalaman dan bermain dan bukan dari membaca buku. Contoh permainan pondok-pondok yang mana mereka berlakon sebagai orang lain dan melakukan perkara yang dilakukan oleh orang lain. Bukan ke imaginasi namanya tu. Nanti dah besar boleh jadi Astronaut.
- Kemahiran berbahasa yang lebih kompleks seperti bercerita, menjawab soalan, memahami arahan yang kompleks dan lain-lain yang mana ianya penting untuk mereka belajar apabila masuk sekolah nanti. Jika kefahaman mereka bagus, jadi lebih senang untuk mereka faham apa yang cikgu ajarkan. Tak gitu?
Haaa, banyak tak kemahiran lain ni. Cukup masa tak nak ajar?
Semua kemahiran di atas ada caranya untuk mengajar. Tapi kata kunci nya satu sahaja iaitu melalui “BERMAIN” bukan membaca.
Sumber: Aishah Kassim
Pakar Pertuturan Bahasa
Aisyah Kassim Academy