Kredit foto: BH Online
“Terbukti cakap-cakap saya nak berkahwin bulan ini tidak benar sama sekali."
Begitulah respon primadona Erra Fazira susulan dakwaan perkahwinannya dengan Shahir yang dikatakan berlangsung pada bulan Mac.
Menafikan spekulasi terbabit, Erra Fazira, berharap pihak media dapat bersabar kerana sekiranya ada perkembangan tentang kisah jodohnya, beliau tidak sekali-kali akan mengenepikan mereka.
Tibanya penghujung Mac semalam menjadi bukti bintang Sembilu ini tidak berbohong dalam menafikan spekulasi pernikahan itu yang sebelum ini heboh dicanang netizen.
Kredit foto: Instagram Erra Fazira
“Saya selalu cakap, jangan dengar cakap orang. Hari ini hari terakhir Mac, jadi semua dakwaan orang tak benar sama sekali.
“Saya masih menjalani kehidupan seperti biasa. Tidak ada perkembangan terbaru melainkan soal kerjaya saja.
“Macam selalu dikatakan, kalau ada khabar gembira mengenai perkara ini saya akan kongsikan kepada semua. Saya faham tugas rakan media yang ada bersama saya dari dulu sampai sekarang,” katanya kepada portal Harian Metro.
Dalam masa sama, Erra yang sudah menjangkau usia 44 tahun ini mengharapkan doa berterusan daripada peminat demi kurniaaan masa depan yang terbaik buatnya.
Tambah ibu kepada Engku Aleesya itu, janganlah mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin selagi tidak hadir daripada mulutnya sendiri.
Kredit foto: Instagram Erra Fazira
“Sebaiknya tunggu berita sahih ini daripada saya sendiri. Jangan percaya cakap-cakap orang atau dengar gosip yang disebarkan.
“Saya takkan kahwin senyap-senyap. Doakan saja yang terbaik buat saya,” katanya.
Terdahulu iaitu pada Januari lalu, ada pihak yang mendakwa Erra dan juara Akademi Fantasia musim kelapan itu akan bernikah pada Mac ini.
Namun penyanyi yang pernah meledak dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu terlebih dahulu menafikannya ketika majlis pengumuman penyertaannya bersama syarikat pengurusan Mind Order Sdn Bhd sebelum ini.