Kira-kira pukul 9 pagi, Nik Anis Ashira sedang menjemur pakaian di belakang rumah. Tiba-tiba seseorang telah menariknya dari belakang lalu diheret masuk ke dalam ruang tamu.
Anehnya Nik Anis tidak melawan. Tubuhnya menjadi lemah. Malah dia tidak sedar semasa ditarik masuk ke dalam rumah, seolah-olah dia pasrah diperlakukan sedemikian.
Semasa di ruang tamu pelaku yang dipercayai orang minyak telah mengikat tangan, kaki dan pinggang Nik Anis dengan tali. Mujurlah baru saja pelaku cuba mencabulnya, tiba-tiba saja Nik Anis tersedar.
Menyedari yang dirinya diancam bahaya, Nik Anis berteriak menyebabkan pelaku panik lalu melarikan diri melalui tingkap dapur.
“Saya rasa seperti dipukau. Saya tidak cam siapa orang itu. Saya cuma tersedar apabila menyedari leher saya dicekik. Tangan, kaki dan pinggang saya diikat,” ujarnya.
“Saya sukar bernafas kerana pinggang saya diikat ketat. Saya cuma mampu menangis dan berteriak meminta tolong sebelum suspek lari melalui tingkap dapur,” tambahnya lagi.
Teriakannya didengar oleh jiran sebelah. Jirannya segera mendapatkan Nik Anis dan membuka ikatan pada tubuhnya sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada ayah dan adik lelakinya yang ketika itu sedang bersarapan di kedai berdekatan.
Insiden yang menimpa Nik Anis adalah kes terbaru yang menghantui penduduk kampung Pengkalan Demit, Kubang Kerian.
Sejak awal bulan Mac lalu, orang minyak dipercayai mengganggu kampung ini. Pintu rumah penduduk kampung diketuk berkali-kali. Kadang-kadang bumbung rumah dibaling batu.
Ada juga yang pernah ternampak lembaga lelaki hitam berminyak merangkak berkeliaran. Apabila dikepung ia menghilang.
Sebelum ini ia tidak melibatkan gangguan fizikal terhadap penduduk kampung. Kes Nik Anis merupakan yang pertama dan dianggap semakin serius.
“Kami berjaga tidak kira siang dan malam, tetapi gangguan akan lebih kuat selepas waktu maghrib hingga keesokan hari,” luah Kamarulzaman Mat Yunus 44, ayah Nik Anis.