Kredit foto: Astro Gempak & Malay Mail Online
Dalam kalangan netizen, video seram #PerempuanKebayaMerah telah menggemparkan negara dan mencetuskan perbualan hangat di media sosial sebelum ini.
Sehingga kini, video yang menjadi tular itu telah ditonton lebih 27 juta kali!
Sementara itu, Najwa Abu Bakar selaku Ketua Astro Shaw mengakui video berkenaan sememangnya menjadi salah satu strategi pemasaran filem Dukun yang mula memasuki pawagam pada hari ini.
"Pihak Astro Shaw memang sengaja menerbitkan serta menggunakan video tersebut sebagai salah sebuah teknik pemasaran. Seperti dijangka, video itu viral di laman sosial dan berjaya menaikkan kembali nama filem Dukun yang telah disimpan selama 12 tahun," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.
Dalam pada itu, Najwa berkata, banyak pihak yang tidak sedar muslihat sebenar yang disembunyikan sewaktu penularan video itu di laman sosial pada minggu lalu.
Siapa sangka akhirnya ia menjadi satu teknik pemasaran yang bijak kerana berjaya memancing perhatian ramai.
Kredit foto: Media Hiburan
"Ramai yang tidak menyedari video tersebut merupakan salah sebuah usaha kami untuk mempromosikan filem Dukun dan nampaknya usaha tenaga produksi Astro Shaw berhasil apabila video tersebut tular," katanya lagi.
Karya arahan Dain Said itu antara lain mencuri perhatian kerana penampilan barisan pelakon handalan seperti Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae, Adlin Aman Ramlie, Elyana, Soffi Jikan dan Hasnul Rahmat.