BANGKOK – Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha mengumumkan pilihan raya negara itu akan diadakan pada November tahun depan, yang akan menandakan negara itu kembali ke demokrasi selepas tentera merampas kuasa pada Mei 2014.
Tarikh sebenar pilihan raya yang ditunggu-tunggu itu hanya akan diumumkan pada Jun tahun depan.
“Sekitar Jun tahun depan, (kerajaan) akan mengumumkan tarikh pilihan raya umum dan pada November 2018, kami akan mengadakan hari pengundian,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan di Rumah Kerajaan di sini hari ini.
Mengenai penarikan balik larangan berkaitan aktiviti politik di Thailand berikutan rampasan kuasa tentera lebih tiga tahun lepas, kerajaan katanya, akan mempertimbangkan perkara itu mengikut undang-undang organik mengenai parti politik yang diumumkan dalam Warta Kerajaan pada Oktober 2017.
Prayut yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) bagaimanapun tidak memberikan tempoh masa untuk penarikan balik larangan itu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Kabinet itu berkata, protes politik masih tidak akan dibenarkan walaupun selepas penarikan semula larangan itu. – BERNAMA
Loading...