MUAR – Seorang nelayan muda yang dilaporkan hilang semasa mendirikan pondok ternakan kupang semalam, ditemukan lemas kira-kira satu batu nautika dari lokasi dia dipercayai terjatuh di perairan Parit Keroma Laut, di sini.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Muar, ASP Nordin Osman berkata mayat Muaz Abdul Mutalib, 20, ditemukan pada pukul 3.10 petang ini berdekatan muara Sungai Parit Keroma Laut oleh nelayan tempatan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak petang semalam.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, Muaz, dipercayai terjun dari pondok ternakan kupang untuk berenang mengambil sampannya tetapi gagal sehingga dibawa arus.
“Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama seorang adik lelakinya berada di pondok tersebut dan mangsa tidak timbul setelah hampir 30 minit berenang bagi mendapatkan sampan mereka kembali,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata adik mangsa yang masih berada di pondok ternakan itu melambai-lambai dan menjerit meminta pertolongan daripada nelayan yang berada berhampiran setelah mangsa tidak kelihatan di permukaan air.
Nordin berkata berdasarkan maklumat daripada bapa mangsa, kedua-dua beradik itu keluar ke laut kira-kira pukul 2 petang untuk ke pondok berkenaan sebelum sampan dinaiki mereka tiba-tiba hanyut dan mangsa cuba menyelamatkannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk proses bedah siasat dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam pada itu, seramai 76 anggota penyelamat bersama 42 nelayan tempatan menggunakan 22 buah bot terlibat dalam operasi SAR yang dilancarkan sejak petang semalam. – BERNAMA
Loading...