loading...

eBario Dan BSN Terima Anugerah Kepimpinan ASEAN

KUALA LUMPUR – eBario Sdn Bhd dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerima Anugerah Kepimpinan ASEAN Kali Ketiga berkenaan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, di sini malam tadi.

Kedua-dua organisasa itu antara 18 penerima anugerah dari 10 negara anggota ASEAN yang disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pada majlis itu Ismail Sabri berkata antara matlamat anugerah itu ialah mengiktiraf dan menghargai sumbangan dan peranan badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta dalam pembangunan luar bandar dan membasmi kemiskinan.

Beliau berkata anugerah itu akan menggalakkan NGO dan swasta untuk terus meningkatkan usaha dan sumbangan mereka kepada pembangunan masyarakat luar bandar dalam negara masing-masing terutama dalam membina Masyarakat ASEAN.

eBario mengendalikan projek untuk membawa masuk komputer dan liputan internet bagi masyarakat yang mendiami kawasan terpencil di utara Sarawak sementara BSN menyediakan rangkaian ejen bank berdaftar yang menawarkan perkhidmatan seperti pembayaran bil dan pengeluaran wang tunai terutama di kawasan pedalaman.

Terdahulu delegasi menteri dan timbalan menteri berkaitan kemajuan luar bandar dari negara anggota ASEAN menghadiri mesyuarat sehari bertemakan “Tranformasi Luar Bandar : Mempertingkatkan Modal Insan Ke Arah Masyarakat Luar Bandar Yang Berdaya Tahan” memaparkan komitmen Malaysia dalam pembangunan luar bandar dengan menekankan pembangunan modal insan, sebagai tambahan kepada pembangunan infrastruktur.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan kemajuan Rangka Pelan Tindakan mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (2016-2020) dan pelbagai usaha ke arah dua matlamat serantau itu untuk membina masyarakat luar bandar berdaya tahan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...