loading...

Bermalam Di Reban Ayam Elak Ternakan Mati Lemas

 

PEKAN – Banjir yang tidak dijangka sejak seminggu lalu menyebabkan seorang penternak ayam di Kampung Acheh di sini, terpaksa bermalam di reban untuk mengelakkan ternakannya mati lemas.

 

Ahmad Humaizi Ishak, 40, berkata biarpun berhadapan bau busuk dan kadangkala binatang liar yang naik ke reban menerusi air banjir, beliau terpaksa melakukan tugasan itu bergilir-gilir bersama anggota keluarganya.

 

Malah, beliau juga terpaksa menggunakan bot dalam urusan menjual ayamnya memandangkan banjir kali ini lewat tiba berbanding kelaziman sebelum ini pada Disember.

 

“Sebelum membeli kumpulan baharu anak ayam ini, saya telah membuat perkiraan supaya ternakan itu ‘tidak matang’ pada hujung tahun, yang biasanya sinonim dengan musim tengkujuh.

 

“Bagaimanapun, tahun ini nasib saya tidak begitu baik kerana banjir berlaku sejak Rabu di sini, serentak dengan tempoh matang 6,500 ayam ternakan saya, iaitu pada usia 36 hari,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 

Katanya, beliau sudah menanggguhkan urusan menjual ayam beberapa kali dengan harapan air surut, namun hampa apabila air Sungai Pahang semakin melimpah ke daerah itu dan belum nampak tanda-tanda banjir akan reda dalam masa terdekat.

 

Berikutan itu, katanya beliau tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menjual ayamnya yang telah memasuki hari ke-43, walaupun terpaksa mengharungi air menggunakan bot untuk memindahkannya ataupun berhadapan dengan kerugian.

 

Ini kerana jalan menuju ke rebannya iaitu hampir dua kilometer dari jalan utama, ibarat telah menjadi lautan apabila ditenggelami air lebih satu meter.

 

Ahmad Humaizi yang menjual ayamnya kepada sebuah syarikat pemprosesan dengan harga RM4 sekilogram berkata, untuk memindahkan ayam ke lori, beliau terpaksa meminjam beberapa bot daripada penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

 

“Penduduk kampung bukan sahaja meminjamkan bot tetapi juga menolong menangkap dan memasukkan ayam ke dalam sangkar sebelum dipindahkan ke lori yang menunggu di jalan masuk.

 

“Jika hanya bergantung kepada saya dan 10 pekerja, memang lebih banyak masa diperlukan. Setakat ini, kami sudah membuat kerja yang sama selama dua hari dan masih ada sekitar 3,000 ayam yang belum dikeluarkan,” katanya.

 

Ahmad Humaizi berkata, ayam ternakan yang melebihi usia matang juga kuat makan menyebabkan beliau kini memperuntukan 620 kampit makanan sehari, berbanding 500 kampit sebelum ini.

 

“Itu belum kira ayam mati kerana terjatuh ke dalam air. Walaupun reban dibina tinggi, tapi setiap hari antara lima dan enam ayam mati. Ayam ini terlepas daripada reban melalui lubang pada jaring yang mengelilingi reban,” katanya.

 

Ahmad Humaizi berkata, lebih mudah menternak ayam pada musim banjir berbanding menjual kerana beliau hanya perlu membawa kampit makanan menaiki bot, berbanding membawa ayam hidup untuk dijual. – Bernama

 

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...