KUALA LUMPUR – Pengarah Filem Putera Makassar, Ghaz Abu Bakar menarik diri daripada mengarahkan filem epik ‘Putera Makassar Mahkota Bugis’ disebabkan mempunyai komitmen lain.
Penerbit filem itu, Asmadie Mokhadar berkata, disebabkan komitmen Ghaz telah menarik diri daripada mengarah filem yang menampilkan sejarah bangsa Bugis itu, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan pengarah lain seperti yang diunjurkan pihak Finas.
“Disebabkan komitmen lain Ghaz tidak dapat meneruskan untuk mengarah filem itu. Atas saranan pihak FINAS, kita diunjurkan untuk bekerjasama dengan Syed.
“Bagi saya, tiada kesan kepada filem selepas Ghaz tarik diri kerana filem itu sendiri yang akan membawa dan menarik penonton untuk datang. Memang pengarah memainkan peranan tetapi sekiranya kita mendapat kerjasama daripada pengarah dan penerbit saya rasa benda itu sendiri boleh menarik audien untuk datang ke panggung,”katanya.
Terdahulu, sumber rujukan filem itu diambil daripada teks ‘Tuhfat al-Nafis’ dan berkisarkan sejarah pengembaraan lima pahlawan dari Makassar, Indonesia ke Tanah Melayu untuk membantu Kesultanan Johor yang mengalami masalah rampasan kuasa.
Pahlawan yang digelar ‘Daeng Lima Bersaudara’ ini digambarkan sebagai lima bersaudara yang handal bersilat, bermain senjata dan mempunyai ilmu kepakaran yang tinggi dalam pelayaran. Malah, asal-usul silat gayong di Tanah Melayu juga datang daripada mereka.
Antara barisan pelakon yang akan menjayakan filem tersebut ialah Shaheizy Sam, Adi Putra, Izara Aishah, Wan Raja dan Syafiq Kyle.
Filem yang mendapat perkenan dari Istana Johor itu melibatkan elemen aksi sebanyak 80 peratus dan selebihnya adalah dialog yang menggunakan bahasa seperti Melayu lama dan Bugis.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW