SEOUL – Selepas dibelenggu skandal membabitkan campur tangan rakan baiknya dalam urusan pentadbiran kerajaan, Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye kini berdepan satu lagi isu yang dianggap agak pelik.
Isu terbaharu itu muncul selepas Ahli Parlimen parti pembangkang mendedahkan penemuan beratus-ratus biji pil termasuk ubat perangsang seks untuk lelaki iaitu Viagra di pejabat Geun-hye semalam.
Penemuan tersebut kemudian tersebar dalam kalangan media-media tempatan termasuk media sosial yang berminat untuk membongkar kehidupan peribadi Presiden berkenaan.
Bimbang keadaan menjadi lebih buruk, seorang jurucakap Geun-hye kemudian tampil membuat pengakuan mengenai penemuan tersebut.
Menurut Jung Youn-kuk, ubat-ubat itu dibeli Geun-hye untuk dibawa mengunjungi beberapa negara yang terletak di kawasan pergunungan Afrika termasuk Ethiopia, Mei lalu.
“Kami membawa ubat-ubat itu bersama ketika lawatan tersebut namun tidak menggunakannya,” kata Youn-kuk yang memberitahu ubat tersebut berguna untuk merawat penyakit semasa berada di tempat yang tinggi.
Geun-hye dilaporkan pernah membeli beratus-ratus ubat suntikan yang mengandungi ekstrak plasenta manusia serta vitamin yang diguna untuk proses pembuangan toksik dan rawatan antipenuaan.
Menurut Youn-kuk, ubat-ubatan itu untuk kegunaan para pekerja mereka termasuk pengawal peribadi Geun-hye.
Geun-hye kini berdepan tunjuk perasaan besar-besaran daripada rakyat Korea Selatan yang mahukan pemimpin itu meletak jawatan.
Desakan itu timbul selepas rakan baiknya, Choi Soon-sil didakwa bersubahat memaksa beberapa syarikat tempatan menyumbang berbilion-bilion dolar ke dalam sebuah yayasan yang diterajui wanita tersebut. – AFP/Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW