MARANG – “Itu tidak betul, tidak betul…saya bukan melengah-lengahkan, tetapi itu untuk memberi ruang penambahbaikan dan memberi peluang kepada semua pihak supaya memahami dengan cara yang betul. Sebab (itu) saya tidak bertindak dengan cara tergopoh-gopoh,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung penangguhan huraian pindaan Rang Undang-Undang persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU 355).
Beliau berkata, ia dilakukan untuk memberi ruang penambahbaikan agar dapat memberi peluang kepada semua pihak untuk memahami dengan cara yang betul.
Hadi menegaskan, keputusan itu tiada kaitan dengan permainan Umno seperti didakwa Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dalam Facebooknya dan beliau bukan sengaja mahu melengah-lengahkan huraian tersebut.
“Beri peluang, (pada) masa (yang) baik. Mereka nak tutup di situ dengan undi di Parlimen, itu tidak boleh, undi tidak mewakili seluruh masyarakat Islam. Dia hendak bakar keamanan ke?
“Mereka ini tidak fikir kepentingan agama, kepentingan politik mereka lebih tinggi daripada segala-galanya tetapi kita tidak begitu,” katanya selepas kuliah pagi di Masjid Rusila, semalam, memetik laporan Sinar.
Kelmarin, selepas selesai membentangkan pindaan RUU 355, beliau menangguhkan huraian akta tersebut ke sidang Dewan Rakyat akan datang.
Ahli Parlimen Marang itu ketika sidang akhbar sejurus penangguhan, memberikan peringatan tegas kepada wakil-wakil rakyat bukan Islam supaya jangan mencampuri urusan agama Islam yang jelas tiada kaitan dengan mereka.
Hadi turut merujuk kes Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau ‘Ahok’, menzahirkan kekecewaan apabila terdapat ahli-ahli politik bukan Islam yang beliau percaya tidak mewakili keseluruhan masyarakat bukan Islam menggunakan isu RUU355 untuk mendapatkan keuntungan politik.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW