KUALA LUMPUR – “Saya hanya boleh merumuskan, barangkali di Kelantan, hukuman yang sedia ada tidak memadai. Katalah orang yang minum (arak) kena 6 sebatan, ia masih tidak menahan orang Islam daripada minum. Mungkin nak 100 sebat baru takut, berhenti,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.
Beliau menyifakan usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dikemukakan PAS hanyalah sebagai ‘menakutkan’ umat Islam di Kelantan dari melakukan kesalahan jenayah, petik FMT.
Nazri berkata, kemungkinan hukuman asal iaitu penjara 3 tahun, denda RM5,000 serta 6 kali sebatan syar’ie masih tidak cukup untuk ‘menginsafkan’ rakyat di negeri itu, dan kerana itu PAS mahu meningkatkan hukuman maksimum terhadap pesalah di negeri tersebut.
Nazri berkata, kerajaan tidak ada masalah untuk mendengar perbentangan usul tersebut dan akan meneliti sebab yang dikemukakan oleh PAS.
Bagaimanapun katanya, PAS masih tidak menjelaskan secara terperinci mengenai kadar hukuman yang akan ditetapkan dalam rang berkenaan.
“Saya nak tahu. Saya tidak tahu mengapa mereka mahu meningkatkan (hukuman). Satu saja rumusan yang boleh saya buat ialah, kalau mahu tingkatkan hukuman, maknanya hukuman sedia ada tidak mencukupi untuk menggerunkan umat Islam di sana.
“Penjara 3 tahun, mungkin orang di Kelantan tak takut, mungkin nak 30 tahun, saya tidak tahu. Hanya mereka tahu. Jadi kami perlu dengar mereka,” katanya.
Semalam, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta Dewan Rakyat menangguhkan usul rang RUU 355 ke sidang seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2017 bagi memboleh pindaan dilakukan terhadap undang-undang tersebut.
Ketika ini, akta itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih 6 sebatan kepada pesalah, yang mana kali terakhir akta tersebut dipinda adalah pada tahun 1984
Hukuman itu mahu digantikan dengan “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW