loading...

Rakyat Malaysia Dituduh Kes Terbesar Manipulasi Saham Di Singapura

SINGAPURA — Seorang rakyat Malaysia, Soh Chee Wen dan Quah Su-Ling didakwa semalam selepas terbabit dengan kes penipuan terbesar membabitkan manipulasi pasaran saham Blumont Group Ltd, Asiasons Capital Ltd (kini dikenali sebagai Attilan Group Ltd) dan LionGold Corp Ltd dari Ogos 2012 hingga Disember 2013.

 

Dakwaan tersebut dibuat ke atas Goh Hin Calm, pensubahat utama Soh dan Quah.

 

“Ini merupakan kes manipulasi pasaran yang terbesar dalam sejarah Singapura,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh Jabatan Peguam Negara Singapura (AGC), Jabatan Hal Ehwal Komersil Pasukan Polis Singapura (CAD) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).

 

Kes itu menyebabkan CAD dan MAS membuat serbuan ke atas lebih 50 lokasi dan menemubual lebih kurang 70 individu.

 

Siasatan tersebut merangkumi keterangan berdokumen yang terdiri daripada lebih dua juta emel, setengah juta arahan transaksi serta ribuan rekod telefon dan penyata kewangan.

 

Penipuan kompleks dan terperinci yang dilakukan oleh Soh, Quah dan rakan subahatnya turut melibatkan jaringan sebanyak 180 akaun dagangan bertujuan untuk memanipulasi urus niaga saham Blumont, Asiasons dan LionGold.

 

Akaun dagangan ini dimiliki oleh sejumlah 59 individu dan penama korporat yang telah menyerahkan kawalan akaun mereka kepada Soh dan Quah.

 

Akaun tersebut diservis oleh 20 wakil perdagangan.

 

Soh masih melalui proses pembankrapan sejak Januari 2002.

 

Semasa kesalahan itu dibuat, Quah merupakan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IPCO International Ltd manakala Goh adalah Pengurus Pentadbiran dan Kewangan Kanan IPCO.

 

Soh dan Quah, masing-masing didakwa dengan enam tuduhan berkomplot yang dibuat antara 1 Ogos 2012 hingga 3 Oktober 2013 untuk mencipta gambaran tidak benar berhubung dengan pasaran saham Blumont, Asiasons dan LionGold di bawah Seksyen 197 Akta Niaga Hadapan dan Sekuriti (SFA) serta Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

 

Skim yang menyalahi undang-undang ini membabitkan eksploitasi ke atas lebih 180 akaun dagangan, yang dikawal oleh mereka secara rahsia bagi mencipta ilusi kecairan dan permintaan bagi saham-saham tersebut dengan membuat beribu-ribu manipulasi perdagangan dalam setiap satu daripada tiga kaunter, termasuk cubaan untuk mengawal bekalan saham-saham tersedia di pasaran bagi mempengaruhi harga kaunter berkenaan.

 

Goh telah didakwa dengan enam tuduhan yang sama di bawah Seksyen 197 SFA dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja membantu Soh dan Quah dalam mewujudkan gambaran tidak benar berhubung dengan pasaran saham Blumont, Asiasons dan LionGold sepanjang tempoh tersebut.

 

Di samping itu, Soh dan Quah turut didakwa dengan empat tuduhan di bawah Seksyen 197 SFA dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana berkomplot untuk memanipulasi dan menyokong harga saham kaunter ini pada bulan Ogos, September dan Oktober 2013, tidak lama sebelum harga saham-saham terbabit menjunam pada 4 Oktober 2013.

 

Bagi membiayai skim mereka, Soh dan Quah berpakat untuk menipu institusi-institusi kewangan bagi meminjam sejumlah wang ke dalam akaun-akaun yang dikawal oleh mereka.

 

Soh dan Quah menipu Goldman Sachs International and Interactive Brokers LLC untuk memberi sebanyak S$170 juta dalam margin pembiayaan ke dalam akaun mereka, dengan menjadikan saham Blumont, Asiasons dan LionGold sebagai cagaran untuk mendapatkan pelanjutan kredit tersebut, dan pada masa yang sama, menyembunyikan fakta sebenar dari institusi itu bahawa pasaran saham terbabit telah dimanipulasi oleh mereka berdua.

 

Soh dan Quah, masing-masing telah didakwa dengan enam tuduhan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana telah menipu institusi kewangan.

 

Mereka juga didakwa dengan 162 tuduhan di bawah Seksyen 201 SFA dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memberi arahan yang berkaitan dengan akaun dagangan yang dimiliki oleh pelbagai penama tanpa mendapat kebenaran daripada institusi kewangan dengan siapa akaun itu telah dibuka, sekali gus menipu institusi terbabit.

 

Akhirnya, Soh juga telah didakwa dengan tiga tuduhan di bawah Seksyen 148 Akta Syarikat disebabkan pembabitannya dalam pengurusan Blumont, Asiasons dan LionGold dibuat ketika beliau masih lagi dalam status bankrap.

 

Siasatan ke atas pemegang-pemegang akaun penama dan wakil-wakil perdagangan yang mungkin terlibat dalam komplot itu sedang berjalan.

 

Individu-individu ini termasuk pengarah-pengarah dan anggota pengurusan kanan di Blumont, Asiasons, LionGold serta syarikat-syarikat berkaitan.

 

Tindakan akan diambil terhadap individu-individu ini jika wujud salah laku. — Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...