KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) membuka semula siasatan terhadap projek 1BestariNet kelolaan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran terdapat perbelanjaan kerajaan yang meragukan.
Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, selain melakukan audit, JAN juga perlu menyiasat keberkesanan projek 1BestariNet memberi perkhidmatan rangkaian internet di sekolah-sekolah dalam negara selepas penamatan perkhidmatan ICT SchoolNet pada 2010.
Selain itu, Hasan turut meminta JAN menilai semula dokumen perjanjian kontrak projek berkenaan bagi memastikan kepentigan kerajaan dilindungi.
“PAC memutuskan supaya JAN melakukan audit susulan secara keseluruhan berhubung sama ada perkara-perkara yang dibangkitkan JAN dibuat retifikasi kerana banyak perbelanjaan kerajaan meragukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mengulangi penegasannya meragui keberkesanan projek 1BestariNet yang kini disahkan sendiri oleh PAC.
“Kritikan saya terhadap projek yang saya bangkitkan sewaktu saya mula dilantik sebagai ahli parlimen pada 2013 kini telah disahkan,” kata Zairil.
Projek 1BestariNet bernilai RM4.1 bilion dianugerahkan kepada YTL Communication Sdn Bhd menerusi tender terbuka diperkenalkan sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan.
Dimulakan pada Mac 2011, Lembaga Perolehan Kementerian Pendidikan memutuskan 1BestariNet dilaksana dalam tempoh 15 tahun bagi menyediakan kemudahan akses internet berkelajuan tinggi 4G dan platform pembelajaran maya kepada semua sekolah dalam tempoh itu.
Rumusan PAC berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang dibentangkan di Parlimen semalam mendapati kelemahan projek berkenaan berpunca daripada urustadbir kontrak yang lemah.
“PAC tidak boleh menerima alasan yang dikemukakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai ketidaksedaran mengenai pekeliling berhubung Value Management Lab,” kata Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin. – Malaysian Digest
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW