loading...

PBB Beri Amaran Situasi Berbahaya Di Asia Barat

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Utusan PBB, Nickolay Mladenov memberi amaran bahawa situasi di Asia Barat semakin berbahaya berikutan tindakan Israel membina penempatan baharu Yahudi, manakala penduduk Palestin pula terus bertelagah.

 

AFP melaporkan, dalam ucapannya Mladenov kepada Majlis Keselamatan kelmarin berkata, rancangan Israel membina penempatan baharu di Baitulmuqaddis Timur disifatkan ‘semakin membimbangkan’.

 

Beliau mahu Israel segera menghentikan kerja-kerja pembinaan tersebut.

 

“Situasi di Asia Barat menjadi berbahaya memandangkan penyokong peluasan penempatan Israel semakin berani dan perbalahan dalaman rakyat Palestin pula bertambah tegang.

 

“Semua faktor ini menyebabkan prospek masa depan kewujudan negara Palestin amat terancam,” kata Mladenov.

 

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Israel menghidupkan semula pembinaan 500 penempatan haram baharu Yahudi di Baitulmuqaddis Timur, lokasi ibu negara Palestin merdeka.

 

Pengumuman itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai petanda bahawa Israel semakin berani susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

 

PBB tetap bertegas bahawa penempatan itu tidak sah dan menggesa Israel menghentikan kerja-kerja pembinaan tetapi situasi sebaliknya berlaku sejak beberapa bulan lalu.

 

Sementara itu, negara-negara Arab membincangkan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan untuk menuntut supaya pembinaan penempatan haram Yahudi dihentikan.

 

Langkah serupa pada 2011 gagal selepas AS menggunakan kuasa vetonya membatalkan resolusi tersebut.

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...