Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama dengan DAP walaupun untuk mengadakan sebarang rundingan mahupun perbincangan.
Beliau turut menyangkal laporan media semalam, kononnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuka pintu rundingan dengan DAP berhubung kedudukan calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
“Saya tidak fikir Presiden kata begitu (sedia berunding dengan DAP) Presiden hanya kata (beri kenyataan) pihak yang tidak pernah kacau rumah tangga Pas.
“DAP bukan parti yang dimaksudkan sebagai Pas bersedia buka pintu. Semua tahu hal ini yang menyebabkan Pas buat keputusan keluar dari Pakatan Rakyat (PR),” katanya, petik sebuah portal.
Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi kepada wartawan di Parlimen semalam, yang dilaporkan Pas bersedia membuka pintu rundingan dengan DAP, tetapi jangan sampai mengacau isi dalam rumah.
Menurut Nik Abduh, rundingan mengenai calon PRU 14 mungkin akan diadakan dengan parti pembangkang lain seperti PKR atau parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW