KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan penahanan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah malam Jumaat lalu disebabkan penganjuran himpunan haram BERSIH 5 atau berkaitan politik.
Sebaliknya kata Khalid, polis memberkas Maria ekoran cubaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen negara berikutan penemuan satu dokumen di pejabatnya.
“Ketika pasukan polis menggeledah pejabatnya, kita menemui pelbagai dokumen yang membawa kepada petunjuk di bawah kesalahan SOSMA iaitu percubaan menggugat keselamatan demokrasi berparlimen di Malaysia
“Prosedur di bawah akta ini membolehkan pihak polis menahannya selama 28 hari bagi melakukan siasatan secara terperinci terhadap penemuan bukti serius yang terdapat dalam bentuk dokumen dan alat komputernya,” katanya kepada pemberita, semalam.
Selain itu, Khalid berkata, Maria juga pernah mengaku menerima dana daripada Yayasan Open Society iaitu sebuah pertubuhan yang pernah dikaitkan menjatuhkan beberapa negara lain.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan Maria dibawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Tambahnya, akta SOSMA berbeza dengan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang eksklusif kepada pendakwaan berkaitan pengganas sahaja.
“SOSMA bukan sahaja boleh digunakan kepada pengganas tetapi juga kepada mereka yang terlibat dalam jenayah terancang, penyeludupan manusia dan menggugat keselamatan negara.
“Akta yang melibatkan siasatan terhadap pengganas sahaja ialah POTA, jadi saya minta semua pihak termasuk pemimpin negara dan pengamal undang-undang supaya tidak mengelirukan orang awam,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan polis memberi layanan buruk terhadap Maria, Khalid menjelaskan Pengerusi BERSIH itu dilayan sama seperti tahanan lain mengikut peraturan di lokap.
“Kita layan Maria sama sahaja dengan tahanan lain. Antara sebab Maria tidak diberi tilam sebelum ini di penjara disebabkan dia tidak memohon untuk mendapatkan tilam. Sekiranya dia nak tilam, kena buat permohonan.
“Dan hari ini apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) datang melawat. Hari ini dia pohon dan kita bagi,” katanya lagi.-MD
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW