Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan ada hubungan sulit dengan seorang wanita bernama Nika Gee Siew.
Menjawab soalan wartawan TV3 mengenai Nika Gee Siew Yee iaitu wanita yang dikaitkan ada hubungan sulit dengannya, Muhyiddin menjelaskan, beliau sudah menafikannya sebelum ini.
“Saya sudah nafi sekeras-kerasnya. Saya tak ada nak tokok tambah (buat kenyataan baharu) lagi. Kalau TV3 suku tidak faham, itu terpulang,” katanya ringkas pada sidang media bersama Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sini hari ini.
Baru-baru ini tersebar cerita nama bekas Timbalan Perdana Menteri itu dikaitkan dengan Nika dalam satu akuan bersumpah oleh seorang individu di mahkamah dan Muhyiddin telah menafikannya.
Sementara itu, Muhyiddin juga menjelaskan, tidak timbul soal beliau mahu menyertai PKR atau tidak.
Apa yang diutamakan, katanya, kesediaannya bekerjasama dengan pembangkang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai salah laku kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Buat masa ini bukan itu (menyertai mana-mana parti pembangkang) soalannya. Saya hendak tegaskan di sini, saya komited dengan pembangkang terutama PKR untuk turun padang memberi penjelasan kepada rakyat.
“Dalam bahasa mudah, rakyat perlu diberitahu mengenai salah laku, penyelewengan dan perompakan berlaku dalam syarikat kerajaan iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.
Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO juga akan memenuhi semua jemputan PKR menerusi program Momentum Gerakan Selamatkan Malaysia yang bermula Ogos ini sehingga menghampiri Pilihan Raya Umum ke-14.
Ditanya bilakah parti baharu yang diuar-uarkan akan ditubuhkan, beliau berkata, tunggu masa sesuai untuk diumumkan.
Mengenai agenda “Bebaskan Anwar” oleh Pakatan Harapan, kata Muhyiddin, beliau sudah duduk semeja dengan PKR dan sangat memahami serta bersimpati dengan Wan Azizah.
Bagaimanapun, ujar beliau, undang-undang juga harus dihormati.-MalaysiaGazette
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW