loading...

Dalam FAM Sekarang Tidak Tahu Tentang Bola Sepak – TMJ

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, beliau tidak boleh memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana beliau akan bias kepada kelab yang didukungnya.

 

Lagipun, menurut beliau, jawatan Presiden FAM tidak boleh dipegang oleh individu daripada mana-mana persatuan bola sepak negeri.

 

Bagi Tunku Ismail, jawatan itu perlu dipegang oleh seseorang yang neutral daripada semua pasukan bola sepak.

 

“Saya terlalu sayangkan negeri saya, sayang kepada JDT. Saya akan bias (jika memegang jawatan Presiden FAM) dan saya tidak mahu bias.

 

“Kita perlu orang lain sebagai presiden, saya bukan orangnya,” katanya Tunku Mahkota Johor itu dalam program Obviously Harith Iskander terbitan Astro.

 

Bagaimanapun, beliau tidak kisah untuk menjadi penasihat bagi berkongsi pandangan untuk kemajuan bola sepak negara.

 

“Tetapi untuk hands on, saya tidak boleh kerana mempunyai komitmen lain di Johor. Saya selalu berada di Johor, bukan di Kuala Lumpur,” tambah beliau.

 

Tunku Ismail berkata, kita perlu akui bahawa pasukan bola sepak negara kekurangan kualiti, lantaran itu JDT membawa masuk tenaga luar termasuk jurulatih untuk mendapatkan kepakaran mereka.

 

Dengan adanya kepakaran luar, pemain-pemain bola sepak boleh belajar sebanyak mungkin supaya dapat memimpin pasukan sendiri pada masa depan.

 

“Kita tidak boleh jadi bodoh sombong, ego tentang perkara ini. Kita tidak boleh mendabik dada dengan berkata kita boleh melakukannya sendiri.Kalau kita boleh melakukannya, pasukan bola sepak negara tidak berada pada tahap hari ini.

 

“Beberapa orang di FAM perlu meletakkan jawatan dan perlu ada ahli Exco baharu. Kita perlu orang FAM yang boleh menyumbang kepada pasukan bola sepak, kepada kelab-kelab yang terlibat dan kepada pasukan kebangsaan. Itu sahaja.

 

“Yang berada di FAM sekarang adalah mereka yang tidak tahu tentang bola sepak. Mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan, mereka tidak ghairah apa yang dilakukan, perlu ada objektif, perlu tetapkan sasaran,” katanya.

 

Tegas Tunku Ismail, kita mahu pasukan bola sepak Malaysia bermain untuk ranking, memilih kejohanan mana yang perlu diambil bahagian.

 

Katanya, pasukan bola sepak negara tidak boleh sekadar mensasarkan Piala Suzuki setiap tahun.

 

“Saya bersedia untuk berkongsi buah fikiran, pendapat untuk memperbaiki mutu pasukan bola sepak Malaysia tetapi untuk menjadi Presiden FAM, sesungguhnya jawatan itu bukan untuk saya.

 

Sebagai pemilik JDT, Tunku Ismail mengakui beliau menitikberatkan tentang potensi jurulatih dan pemain, oleh yang demikian kelab itu melakukan beberapa kerjasama dengan kelab luar termasuk Valencia dan Jepun dengan menghantar jurulatih dan pemain.

 

Objektifnya untuk memastikan jurulatih dan pemain ini mendapat pendedahan – belajar sebaik mungkin dan kemudian apabila balik semula dapat melaksanakan idea kepada JDT.

 

Tunku Ismail berkata, walaupun kelab bola sepak miliknya itu mempunyai beberapa pemain luar tetapi keutamaan masih diberikan kepada pemain tempatan.

 

Buktinya semasa JDT menjulang Piala AFC tahun lalu, 60 peratus pemain yang menjaringkan gol sepanjang perlawanan adalah pemain tempatan dan hanya dua pemain import yang berada dalam pasukan JDT ketika itu.

 

“Berbanding kelab lain, JDT memberi keutamaan kepada pemain tempatan kerana kita mahu menambah baik standard permainan mereka. Kita tidak kisah kepada pemain luar.

 

“Jika kita lihat pasukan lain, apa yang mereka maklumkan di media adalah tentang pembelian pemain luar. Saya tidak bincang tentang pemain luar,” tambah beliau. – MG



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...