JOHOR BAHRU – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempelawa orang ramai termasuk peminjamnya mendapatkan maklumat berkaitan pada Pameran Hartanah MyRumah di KOMTAR JBCC di sini hingga esok.
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Oeprasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, berkata peluang itu perlu dimanfaatkan bagi peminjam mendapatkan maklumat tepat, termasuk penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman.
“Ini adalah langkah proaktif PTPTN membantu orang ramai termasuk peminjam yang mahu membeli rumah namun berdepan masalah kerana mempunyai hutang PTPTN.
“Kami sedia membantu menyelesaikan masalah berkenaan dengan melakukan penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman bagi membolehkan impian membeli rumah tercapai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mastura berkata, peminjam boleh mengurangkan komitmen bayaran selain memanjangkan tempoh bayaran balik sehingga usia 60 tahun.
PTPTN adalah antara agensi yang terbabit sebagai pempamer sempena Pameran Hartanah MyRumah anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dengan kerjasama Kumpulan Andaman selama tiga hari di KOMTAR JBCC.-BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW