KUALA LUMPUR – Sesetengah golongan masyarakat terutama dikalangan orang Melayu masih ada yang mempercayai mitos kononnya pengambilan air tulang belakang atau istilah perubatannya dikenali sebagai lumbar puncture (LP) sebagai punca seseorang pesakit itu lumpuh.
Susulan kepercayaan mitos itu masih menebal mendorong seorang doktor bertauliah, Dr Abdul Rahman bin Abdul Kadir tampil membuat penjelasan panjang lebar di Facebook beliau untuk memperbetulkan kekeliruan dan menafikan mitos tersebut.
“Pelbagai cerita-cerita menyeramkan dan dongeng turun temurun menyebabkan prosedur penting ini sering tidak dapat dilakukan dan (yang menjadi) mangsanya adalah pesakit itu sendiri.
“Prosedur Lumbar Puncture adalah selamat dan boleh dilakukan. Sebenarnya masyarakat kita takut kerana kononnya apabila dilakukan prosedur ini maka akan ada kesan bahaya pada pesakit termasuk kehilangan nyawa,” tulis Dr Abdul Rahman.
Menurut beliau lagi, prosedur pengambilan air tulang belakang atau Lumbar Puncture itu hakikatnya hanyalah prosedur biasa bagi mengambil cecair dari badan pesakit sama seperti pengambilan darah manusia untuk tujuan ujian klinikal.
Jelas beliau lagi, prosedur Lumbar Puncture ini dilakukan untuk mengambil air tulang belakang atau cecair serebrospina (CSF).
“Prosedur ini juga akan dilakukan dengan sangat teliti dan di bawah kaedah aseptik (basmi kuman) bagi memastikan ia selamat dan tiada risiko jangkitan iatrogenik (jangkitan yg disebabkan oleh prosedur).
“Doktor hanya akan meminta prosedur Lumbar puncture ini dilakukan terhadap pesakit yg serius jangkitannya di mana jangkitan kuman pada selaput otak (meningitis) adalah salah satu diagnosis yg berkemungkinan.
“Kebiasaannya pesakit yg mengalami penyakit spt meningitis ini sudah sedia kritikal, tidak mempunyai tahap kesedaran penuh dan dirawat di ICU!
“Prosedur ini perlu utk kita identifikasi kuman spesifik yg menjangkiti selaput otak pesakit agar antibiotik khusus dan tepat dapat diberikan bagi membunuh kuman dalam tubuh pesakit,” ujarnya panjang lebar.
Dr Abdul Rahman turut mengingatkan seandainya waris atau pesakit sendiri enggan membenarkan prosedur Lumbar Puncture dilakukan bermakna doktor hanya boleh melakukan rawatan secara ‘blind treatment’ dengan memberikan antibiotik broad spectrum yang sukar ditentukan keberkesanannya melawan kuman.
Berkaitan isu yang sama, seorang Perunding Kanan Neurologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Dr. Raymond Azman Ali pernah menjelaskan isu ini pada tahun 2002.
Menurut beliau, selain percaya prosedur Lumbar Puncture punca berlaku kelumpuhan, sebahagian besar masyarakat Melayu juga mempunyai kepercayaan pengambilan air tulang belakang juga akan menyebabkan mati pucuk.
“Sebenarnya kesemua kepercayaan ini tidak berasas dan tidak mempunyai bukti kukuh,” katanya dalam temubual bersama akhbar Utusan Malaysia.
Jelasnya, prosedur Lumbar Puncture adalah selamat, memiliki keistimewaan tersendiri, tidak mempunyai komplikasi dan telah menjadi amalan perubatan sejak berabad-abad lamanya.
Malah menurut Prof. Raymond lagi, prosedur Lumbar Puncture sebenarnya jauh lebih ringkas dan mudah berbanding prosedur asalnya yang memerlukan proses menebuk tempurung otak pesakit bagi mendapatkan cecair serebrospina untuk dianalisis.
Prof. Raymond juga menjelaskan, istilah mengambil air tulang belakang seperti kerap diguna pakai oleh sebahagian besar masyarakat Melayu sebenarnya tidak tepat.
“Istilah ini kerap dianggap oleh kebanyakan orang sebagai satu kaedah mencucuk tulang belakang dan mengambil air dari dalam tulang.
“Hakikatnya Lumbar Puncture langsung tidak mencucuk tulang untuk mengambil cecair serebospina. Sebaliknya, jarum tersebut dicucuk di antara tulang-tulang yang terdapat pada tulang belakang ke dalam satu ruang cecair yang terletak jauh dari saraf tunjang,” jelas beliau. – SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW