loading...

Lawatan PM Ke Jakarta Pertingkat Kerjasama Ekonomi Malaysia-Indonesia

JAKARTA – Lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke sini mulai esok bagi menghadiri dua acara secara berturutan termasuk bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo serta pemimpin negara lain, akan mempertingkatkan lagi jalinan kerjasama hubungan ekonomi dua negara berjiran itu.

 

Perdana Menteri akan menghadiri Perundingan Tahunan ke-11 di antara Malaysia dan Indonesia esok dan disusuli acara Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 atau WIEF 12, pada 2 hingga 4 Ogos ini.

 

Datuk Seri Najib yang juga Menteri Kewangan, memiliki jadual padat membabitkan beberapa mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama Malaysia dan Indonesia.

 

Perundingan Tahunan ke-11 itu merupakan yang pertama antara Datuk Seri Najib dan Joko atau lebih dikenali Jokowi, selepas pemimpin Indonesia itu dilantik menyandang jawatan Presiden pada 2014.

 

Usaha di bawah kerangka perundingan tahunan itu sebelum ini diadakan di Jakarta pada 19 Dis, 2013.

 

“Antara isu yang akan dibincangkan dua pemimpin itu menyentuh kerjasama ekonomi termasuk tenaga, persempadanan, tenaga kerja seperti pembantu rumah selain masalah jerebu,” kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

 

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, di sini, hari ini.

 

Datuk Seri Najib dan Jokowi akan turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian antara Bank Negara Malaysia dan Otoritas Jasa Keuwangan Indonesia di bawah Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN (ABIF) selain perjanjian antara Kerajaan Indonesia dan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) berhubung Sekretariat CPOPC.

 

Perdana Menteri yang dijangka tiba di Jakarta petang ini bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia, termasuk para pelajar pada majlis makan malam di Kedutaan Besar Malaysia di sini esok, selepas menghadiri acara Perundingan Tahunan berkenaan.

 

Sementara itu pada WIEF ke-12 yang bertemakan “Decentralizing Growth, Empowering Business” (Desentralisasi Pertumbuhan, Memperkasa Perniagaan), Datuk Seri Najib selaku Penaung kepada Yayasan WIEF akan menyampaikan ucapan khas di majlis perasmian pada 2 Ogos 2016 yang disempurnakan oleh Presiden Jokowi.

 

Menurut Zahrain, beberapa mesyuarat hubungan dua hala antara Najib dan para pemimpin dari Guinea, Sri Lanka, Jordan dan Tajikistan turut dirancang bersempena penganjuran WIEF itu.

 

Perdana Menteri juga dijadual menghadiri majlis prapelancaran “Global Entrepreneurship Community” (Komuniti Keusahawanan Global) atau GECommunity, hasil inisiatif Kementerian Kewangan.

 

Datuk Seri Najib akan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dan perjanjian antara Malaysia dan syarikat antarabangsa.

 

Bagi delegasi Perundingan Tahunan itu, Perdana Menteri akan disertai beberapa anggota Kabinet termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

 

Acara WIEF-12 pula akan dihadiri mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin.-Awani



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...