PULAU PINANG – PKR diyakini akan kekal dengan pendirian menolak hasrat DAP mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut kerana menyedari kemungkinan kehilangan kesemua 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada di negeri ini.
Ini berikutan parti itu dilihat bakal menerima impak paling besar akibat pertembungan tiga penjuru yang pasti berlaku berikutan pendirian Pas sebelum ini untuk bertanding di kesemua 40 kerusi DUN di negeri ini jika PRN mengejut diadakan.
Pertembungan tiga penjuru seboleh mungkin cuba dielak PKR terutama di kerusi campuran kaum kerana dilihat memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) seperti mana dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.
Ini berbeza dengan DAP yang tidak akan menghadapi masalah besar bagi mempertahankan 19 kerusi dimenangi mereka kerana bertanding di kerusi majoriti Cina berikutan pengundi kaum itu dilihat masih memberi sokongan padu kepada parti tersebut di sebalik pertuduhan rasuah dihadapi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Walau bagaimanapun, DAP perlu mengharapkan PKR mampu memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi seperti di DUN Kebun Bunga dan Bukit Tambun bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah yang mana peratusan pengundi Melayu di kawasan tersebut agak kecil berbanding lapan yang lain.
Tiga kerusi DUN yang majoritinya pengundi Melayu iaitu Seberang Jaya; Penanti dan Batu Maung sudah pasti terlepas daripada PKR sekiranya PRN diadakan kerana bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PKR, Pas dan BN.
Ini berikutan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, kemenangan PKR di ketiga-tiga kerusi itu dilihat ramai disumbangkan hasil undi penyokong Pas.
Lebih membimbangkan, ketiga-tiga kerusi itu disandang pemimpin kanan PKR dengan dua daripadanya bertaraf Exco iaitu Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Batu Maung) manakala Dr. Norlela Ariffin (Penanti) memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan negeri.
Satu lagi kerusi majoriti Melayu yang dijangka beralih kepada BN ekoran persaingan sesama sendiri pembangkang adalah DUN Permatang Pasir yang dimenangi calon Pas, Datuk Mohd. Salleh Man.
Di DUN majoriti bukan Melayu pula seperti di Pantai Jerejak; Batu Uban dan Machang Bubuk, PKR bakal bergelut mempertahankan kerusi itu di samping pada masa sama mungkin terpaksa memberi laluan kepada sekutu baharu, PAN.
Perkiraan itu berdasarkan pendirian PAN yang dari awal lagi bersetuju dengan cadangan PRN mengejut kerana mahu menjadikannya platform memperkenalkan parti berkenaan kepada rakyat.
Dalam erti kata lain, PAN menuntut lebih banyak kerusi sekali gus meletakkan masa depan politik PKR di negeri ini semakin terancam.
Kebimbangan kehilangan semua kerusi itu, menurut Setiausaha Organisasi Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak, menjadi punca utama mengapa PKR tidak akan bersetuju dengan cita-cita politik DAP membubarkan DUN segera.
Malah, kata beliau, cadangan PRN itu juga meletakkan PKR dalam situasi tertekan untuk mempertahan hubungan baik dengan DAP dan dalam masa sama mengekalkan kerjasama bersama Pas.
Ketika ini, PKR perlu mengelak sebarang konfrontasi dengan Pas dalam memastikan kestabilan Kerajaan PKR Selangor tidak terjejas yang turut boleh mengancam kedudukan PKR dalam politik negara.
“Semua perhitungan daripada PRN mengejut itu sedikit pun tidak menguntungkan PKR dan jika silap perhitungan, PKR akan menjadi mangsa terbesar dalam cita-cita politik DAP tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Rahmad, kebimbangan PKR itu diyakini tidak akan memberi sebarang kesan kepada DAP yang dijangka tetap meneruskan agenda membubarkan DUN dalam masa terdekat. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW