PETALING JAYA – Seorang doktor dari Johor Baharu berkongsi pengalaman uniknya apabila didatangi pesakit, seorang pekerja buruh binaan warga asinng yang mahir dengan terma perubatan.
Dr. Goh Aik Ping menerusi laman sosial, Facebook miliknya menyatakan betapa beliau terkejut berdepan seorang lelaki asing berpakaian lusuh, dengan kasut tapak binaan berwarna kuning ala “Phua Chu Kang” dan muka yang kotor tetapi mengenalpasti rawatan untuk masalah kesihatannya selain nama ubat-ubatan menggunakan terma perubatan.
“Pesakit Bangladesh itu mengadu cirit-birit dan akui mengesyaki menghidap ‘disentri’, satu istilah perubatan untuk jangkitan usus. Saya terkejut dan berhenti merawatnya seketika, kemudian saya bertanya bagaimana dia tahu istilah itu, tetapi dia berdiam diri,” tulis Dr. Goh.
Selepas memeriksa pesakit itu, Dr. Goh menerangkan tentang keradangan dalam perutnya, gastroenteritis sebagai punca cirit-biritnya.
Sebelum sempat menerangkan preskripsinya, pesakit Bangladesh itu bertanya jika beliau mempunyai ubat seperti ciprofloxacin, metronidazole dan Azithromycin, nama-nama yang kompleks yang hanya digunakan oleh doktor atau pakar perubatan.
“Saya tertanya-tanya bagaimana lelaki ini boleh tahu nama ubat-ubatan, malah sebutannya juga sangat tepat,” tulisnya.
Tidak mahu terus berteka-teki, Dr. Goh berjaya mengupas identiti sebenar buruh binaan Bangladesh itu yang sebenarnya seorang ahli farmasi dan memiliki farmasinya sendiri di negara asalnya.
“Saya belajar famasi dan adik saya pula seorang doktor. Saya mengambil keputusan meninggalkan negara itu ekoran ketidakstabilan politik. Setelah segalanya pulih, saya akan kembali ke sana (Bangladesh),” kata pesakit itu kepada Dr. Goh seperti mana yang dialih bahasa sebuah portal, The Coverage.
Tulisnya lagi dalam dialek bahasa Cina, “Saya berasa sedih untuknya. Dia meninggalkan bangsa dan kerjayanya datang ke bumi ini sebagai seorang pekerja binaan, sanggup bekerja keras di bawah matahari panas, menanggung persekitaran yang bertentangan dengan budayanya. Semuanya kerana, kehidupan domestik di sini lebih baik.
“Saya tidak dapat membantunya, sekadar mengeluh sahaja.”
Doktor itu juga mempersoal nasib rakyat Malaysia jika berhadapan ketidakstabilan politik. Merantau ke negara orang yang lebih maju, menjadi kuli dan buruh tetapi menikmati hidup yang lebih baik dari negara sendiri, tulisnya. – FMT
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW