Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim
KUALA KANGSAR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan calonnya, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli bukan sengaja mengelak daripada ditemubual oleh media, tetapi disebabkan faktor lain yang dihadapi jenteranya dalam merangka gerak kerja calon.
Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berkata, disebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini berlangsung pada bulan Ramadhan dan kekangan masa yang dihadapi jenteranya, pihaknya memilih masa yang sesuai untuk calon Amanah mengadakan sesi bersama media, selepas ini.
“Ini merupakan sidang media yang pertama oleh Amanah sejak daripada penamaan calon pada 5hb lalu, dan tuan-tuan mungkin tertanya-tanya mana calon. InshaAllah kita akan bagi satu sesi khas diantara media dan calon nanti.
“Pergerakan calon berjalan lancar sepeti yang dirancang pihak kami, walaupun kita berhadapan dengan bulan Ramadhan yang sedikit sebanyak mengekang aktiviti-akticiti tertentu. Tidak sama seperti bulan-bulan yang lain, terutamanya ceramah-ceramah yang sepatutnya diadakan terpaksa dibataskan dengan kekangan masa dan faktor- faktor lain yang dihadapi oleh pihak kami, dan saya pihak lain (parti lain) yang bertanding,” katanya di majlis sidang media di bilik gerakan parti Amanah, disini, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Termizi didakwa enggan mengulas beberapa persoalan daripada media terutamanya berkaitan isu Lynas dan masih belum bersuara biarpun dalam ceramah yang dikendalikan parti itu.-SuaraTV