MADINAH – Tabung Haji (TH) menyewa 12 bangunan di Arab Saudi bagi kemudahan penginapan dan menjamin keselesaan 22,320 bakal jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan haji tahun ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah, berkata perjanjian penyewaan 12 bangunan itu merangkumi sembilan bangunan di Makkah dan tiga di Madinah.
Beliau berkata, jarak hotel dari Masjidil Haram, Makkah tidak lebih daripada 1,000 meter manakala di Madinah pula tidak lebih 150 meter dari Masjid Nabawi.
“Ini sekali gus memberi keselesaan kepada jemaah haji,” katanya kepada media Malaysia mengenai persediaan logistik TH untuk jemaah haji pada tahun ini, di sini, hari ini.
Mengenai penerbangan haji, katanya TH akan menggunakan perkhidmatan sewa khas Malaysia Airlines Bhd dan Saudi Arabian Airlines untuk mengangkut bakal jemaah haji ke Tanah Suci, bermula 4 Ogos hingga 4 September depan.
Johan berkata, jemaah haji dijadual berlepas pulang ke tanah air bermula 17 September hingga 15 Oktober depan.
TH akan menyediakan kaunter-kaunter kewangan di setiap bangunan penginapan jemaah haji.
“Ia bertujuan untuk memudahkan jemaah haji mengeluarkan wang masing-masing untuk berbelanja,” katanya.
Jemaah tidak perlu membawa pasport atau buku simpanan untuk mengeluarkan duit sebaliknya tanda nama yang diberikan TH serta cap jari sahaja untuk berbuat demikian.
“Turut disediakan ialah perkhidmatan bimbingan, kaunseling dan kemudahan kafeteria serta penyajian makanan,” katanya.
Bagi Pusat Rawatan ketika musim haji kelak, Johan berkata, TH akan membuka klinik di bangunan penginapan dan pusat rawatan di Makkah dan Madinah.
Beliau berkata, para jemaah haji yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan perubatan semasa di Tanah suci boleh mendapatkan perkhidmatan secara percuma. – BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW