loading...

Motosikal Menyerupai Polis Trafik Disita, Penunggang Ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana cuba menyamar sebagai anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi hampir menyerupai motosikal digunakan pasukan keselamatan itu.

 

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan ketika sedang mengiringi 10 motosikal berkuasa tinggi serta dua kenderaan lain, masing-masing sebuah Proton Preve dan Toyota Alphard di Jalan Tunku Abdul Rahman, kira-kira jam 10.45 malam tadi.

 

Suspek ditahan selepas aksinya mengiring 12 kenderaan itu dengan membuka lampu mata arah berwarna biru dan juga siren disedari sepasukan anggota polis yang sedang melakukan Ops Rentap Khas di lokasi berkenaan.

 

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud, berkata selain dipasang lampu mata arah biru dan siren, motosikal jenis Harley Davidson itu juga didapati mempunyai tulisan “Police” dan lambang pasukan Polis Metropolitan Las Vegas.

 

“Tindakannya boleh mengundang persepsi buruk dan mengelirukan orang ramai serta pengguna jalan raya lain terhadap tugas pasukan polis trafik.

 

“Kita tidak akan berkrompomi terhadap apa sahaja tindakan sedemikian kerana ia boleh menimbulkan salah faham,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

 

Beliau berkata lelaki berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

 

Shafiee turut meminta penunggang motosikal berkuasa tinggi dan dua kenderaan yang diiring suspek ketika kejadian tampil membantu siasatan polis.

 

Difahamkan, semua mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...