KUALA LUMPUR – Keputusan seri tanpa jaringan dengan Myanmar, Sabtu lepas, menyaksikan tiada perubahan ketara pada kedudukan Malaysia dalam ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Khamis.
Skuad Harimau Malaysia hanya naik satu anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-173 pada bulan Jun manakala di peringkat Asia, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee turut naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-31 dalam kalangan 46 negara.
Di peringkat ASEAN, Thailand menduduki tangga ke-117, Filipina (120), Vietnam (133), Singapura (149) dan Myanmar di tangga ke-161.
Untuk rekod, Malaysia berada pada kedudukan ke-171 dunia pada Januari dan Februari, 166 dunia (Mac) dan 174 pada bulan April dan Mei.
Dalam pada itu, Argentina dan Belgium mengekalkan kedudukan di tangga pertama dan kedua selepas masing-masing mengutip 1,503 mata dan 1,384 mata diikuti Colombia di tempat ketigab dengan 1,328 mata.
Ranking FIFA itu melibatkan 209 negara. – mstar