SHAH ALAM – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar melalui kaedah multimedia yang akan digunakan oleh calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid merupakan satu pendekatan baru bagi mencapai pengundi sasaran.
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, melalui kaedah multimedia, BN berupaya untuk mencapai pengundi sasaran khususnya generasi Y yang rata-ratanya kini menjadikan media sosial sebagai platform untuk mendapatkan sebarang maklumat.
“Penggunaan medan media sosial ini sudah terbukti berkesan di mana dalam PRU13 lalu, Pakatan Rakyat telah mengguna pakai pendekatan ini untuk menarik generasi Y.
“Malah, pengaruh media sosial ini berupaya untuk mempengaruhi para pengundi bagi memilih mana-mana calon yang sesuai dengan kehendak serta hasrat mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa kaedah multimedia termasuk video konferensi akan digunakan sepanjang kempen PRK Parlimen Kuala Kangsar.
Namun begitu, Ahmad Marthada menambah, langkah dan strategi digunakan BN perlu digandakan memandangkan kekangan untuk parti berkenaan meraih kemenangan bagi membawa calon berhadapan dengan pengundi.
“Itu bagi saya merupakan satu kekangan buat BN kerana ketidakupayaan mereka membawa calon untuk bertemu dengan pengundi.
“Sebab itu saya kira, untuk memenuhi lompang yang ada itu, maka mereka akan cuba untuk menggunakan media sosial semaksimum mungkin bagi menyampaikan apa jua informasi kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan media sosial turut dapat menjadi medan buat calon BN bagi menyampaikan sebarang informasi, manifesto serta ideologi perjuangan untuk disampaikan kepada pengundi di kawasan terbabit. – Sinar