ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, diminta berehat di hospital sekurang-kurangnya untuk tempoh dua atau tiga hari lagi dipercayai ekoran keletihan.
Isteri Menteri Besar, Datin Seri Hizam Awang Ahmad, yang mengesahkan perkara itu, berkata suaminya hanya perlu berehat dan bukannya dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) disebabkan penyakit kronik.
Malah, katanya, Ahmad Bashah sebelum ini Tak pernah mengadu sakit dan sentiasa menjaga kesihatannya namun sering tidur lewat dan bangun awal atas tuntutan kerja.
“Doktor bagi tahu mungkin kena berehat di hospital untuk tempoh dua tiga hari lagi Akan Tetapi ia bergantung dan beliau juga berpuasa sejak tengah malam tadi untuk menjalani pemeriksaan dalaman.
“Sebenarnya Menteri Besar dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi) bukan sebab kritikal namun doktor mahu beliau berehat.
“Ini kerana jika ditempatkan di wad biasa, nanti orang keluar masuk (datang melawat) beliau perlu berehat, sekarang doktor tambah air dan glukosa kepadanya,” katanya ketika dihubungi, di sini tadi.
Setiausaha politik Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin sebelum ini berkata, Ahmad Bashah hanya mengalami sedikit keletihan dan pening sebelum pitam dan dikejarkan ke pusat perubatan itu.
“Beliau tidak pengsan dan jatuh, cuma pitam sedikit. Keadaan beliau kini stabil dan masih dalam pemantauan pihak hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan KMC.
Ahmad Bashah dikejarkan ke KMC petang semalam selepas mengadu tak selesa dan pening sebelum pitam ketika menghadiri mesyuarat bersama ADUN BN di Hotel Grand Alora jam 7 malam semalam dan kemudiannya dikejarkan ke hospital kira-kira 7.15 malam.