loading...

DAP Takut Dengan Bayang-Bayang Sendiri, Kata Tengku Razaleigh

GUA MUSANG – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menyifatkan pemimpin DAP takut dengan bayang-bayang sendiri apabila mengelirukan bukan Islam berhubung Akta 355 Mahkamah Syariah.

 

Beliau berkata, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen, minggu lalu hanya membabitkan agama Islam saja.

 

Katanya, DAP memang sudah lama tidak bersetuju dengan RUU Persendirian itu kerana bimbang parti berkenaan akan berdepan kemerosotan sokongan orang Islam sebaik pelaksanaan itu dilakukan.

 

“Mereka (DAP) sangat bimbang sebab itu mengeluarkan pelbagai tafsiran yang mengelirukan orang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Banjir (RKB) di Kampung Batu Papan 2, di sini, semalam.

 

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustafa dan Ketua Polis Daerah, Superintendan Rejab Ahad Ismail.

 

RUU itu dibentang di Parlimen pada Khamis lalu oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS.

 

Tengku Razaleigh juga Ketua UMNO bahagian berkata, pemimpin DAP perlu memahami dahulu mengenai akta itu yang tiada kaitan dengan hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan.

 

“Sekarang pembahasan mengenai RUU terbabit masih ditangguhkan kepada sesi akan datang dan kita tunggulah. DAP sudah merasai kebimbangannya mengenai perkara itu,” katanya. – BH

Previous
Next Post »
loading...