Masih baru lagi mengenakan hijab, Fathia Latiff dalam masa yang sama menjelaskan bahawa dia redha dengan ketentuan Tuhan mengenai rezekinya. Menjadi duta kepada beberapa produk, Fathia akur jika kontraknya tidak akan disambung selepas ini.
BACA: Fathia Latiff Kini Sudah Mula Berhijab Penuh
“Saya mempunyai kontrak sebagai duta dengan beberapa syarikat. Jika ada rezeki dan penampilan baharu saya diterima, insya-Allah kontrak itu akan disambung. Jika tiada rezeki, saya percaya Tuhan akan hadirkan sesuatu yang lebih baik nanti”
“Saya juga mungkin terpaksa menolak tawaran berlakon beberapa drama kerana imej baharu ini. Saya tidak kisah, namun untuk membuka tudung mungkin tidak sesekali,” katanya kepada BH Online. Fathia juga bakal muncul dengan perniagaan pakaian tidak lama lagi.
Selain itu, pelakon ini dalam masa yang sama turut menyatakan rasa bersyukur kerana telah diberi hidayah oleh Allah ketika usia muda. Malah katanya perasaan untuk berhijab hadir secara tiba-tiba dan bukanlah atas paksaan atau tekanan mana-mana pihak.
“Jujurnya, saya mula bertudung sebelum menjalani penggambaran sebuah drama di New York lagi. Ketika itu, hati saya tergerak untuk memulakan penghijrahan, tetapi saya harus melakukannya secara perlahan-lahan. Alhamdulillah, sejak dua hari lalu, saya sudah bertudung sepenuhnya,” katanya. (rtky/s)