loading...

Mata Asyik Kabur Waktu Mengandung Bukan Biasa. Kalau Biar, Berisiko Kena Sawan

Sawan boleh berlaku pada wanita hamil. Ia disebabkan oleh masalah epilepsi, jangkitan di bahagian otak (encephalitis) dan ketumbuhan (tumor) di otak tetapi sebab utama berlakunya sawan ketika hamil adalah eclampsia. Sawan eklampsia ini adalah satu kes kecemasan. Ia membahayakan ibu dan juga bayi di dalam kandungan. Berlaku secara tiba-tiba dan jarang sekali dapat diramalkan kejadiannya.

Apabila kecemasan sebegini berlaku di hospital, semua doktor pakar perbidanan, kecemasan, bius dan staf yang ada diperlukan dan akan bekerjasama melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan ibu yang mengalami sawan. Boleh anda bayangkan apa yang berlaku jika kes kecemasan yang sama berlaku di rumah wanita itu dan bukan di hospital? Dr Norintan Zainal Shah, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Columbia Asia, Seremban mengulas lanjut mengenai hal ini.

Bagaimana berlakunya sawan?

Eklampsia berlaku kerana masalah tekanan darah yang tinggi pada wanita yang mengandung. Jika ibu hamil memang sedia ada darah tinggi, risiko untuk mendapat eklampsia juga lebih tinggi. Setiap wanita yang hamil dinasihatkan untuk melakukan “antenatal booking” di klinik kesihatan atau klinik berhampiran dan salah satu pemeriksaan yang penting adalah bacaan tekanan darah.

Artikel Menarik: [Campur Itu Ini Dengan Peluntur, Konon Nak Bersihkan Rumah. Rupanya Jadi Racun!]

Ramai wanita akan mengeluh apabila bacaan tekanan darah mereka rendah : nasihat saya, jangan risau kerana bacaan tekanan darah yang rendah adalah perubahan yang NORMAL sewaktu hamil. Bacaan ini akan naik semula ke tahap “tekanan darah yang normal” selepas kehamilan melintasi minggu yang ke-20.

Tekanan darah dikategorikan sebagai tinggi jika ia sama atau melebihi 140/90 mmHg, bacaan ini diukur sekali lagi selepas 4 jam.

Ada juga doktor yang berpendapat, jika tekanan darah diastolik meningkat 15mmHg dan sistolik meningkat 30mmHg, ini cukup untuk meletakkan wanita tadi dalam pemerhatian rapi kerana tidak semua wanita yang mengalami eklampsia mempunyai tekanan darah 140/90mmHg.

Namun, bacaan tekanan darah 160/110mmHg ke atas adalah perkara serius, maka tidak perlu untuk “tunggu dan lihat”, malah wanita tadi memerlukan rawatan hospital dengan segera.

Ketika ibu hamil mengalami tekanan darah yang tinggi, protein di dalam air kencing perlu diperiksa misalnya dengan menggunakan dipstik, jika ia 1+ atau lebih, keadaan ini dinamakan sebagai pre-eklampsia. (Pre-eklampsia bererti “sebelum berlakunya eklampsia”)

Mengapa rawatan segera penting dalam kes-kes darah tinggi dan/atau pre-eklampsia? Ini adalah untuk satu tujuan sahaja iaitu menyelamatkan nyawa ibu yang hamil tadi dan mengelakkan dari berlakunya sawan atau eklampsia. Bacaan tekanan darah semakin tinggi sewaktu pre-eklampsia dan eklampsia dipercayai  menyebabkan otak membengkak dan seterusnya mencetuskan sawan atau eklampsia pada ibu yang hamil itu.

Apakah kesannya jika sawan ini berlaku?

Jika eklampsia berlaku, ibu akan menerima rawatan resusitasi dan ubat dimulakan untuk eklampsia dan darah tinggi. Setelah stabil, bayi akan dilahirkan walaupun usia bayi belum matang lagi.

Eklampsia adalah sawan yang berlaku hanya ketika wanita itu hamil. Bayi dan uri dalam kandungan adalah penyebabnya. Untuk merawat dan menyelamatkan wanita tadi, “penyebab” eklampsia perlu “dilahirkan”. Kebanyakan kes eklampsia akan semakin pulih selepas kelahiran bayi TETAPI ada juga kes-kes yang kritikal dan tidak pulih, malah meninggal dunia akibat eklampsia. Ini adalah kerana eklampsia boleh menyebabkan komplikasi yang serius di dalam pelbagai organ seperti:

  1. Pendarahan di otak / strok
  2. Pendarahan yang tidak berhenti/ DIVC
  3. Pendarahan di hati dan ginjal
  4. Masalah paru-paru berair
  5. Masalah jantung / “heart failure”
  6. Koma
  7. Meninggal dunia

Jika keadaan ini berlaku, apa risiko pada bayi dalam kandungan?

Masalah eklampsia berkait rapat dengan masalah placenta/uri dalam kandungan. Kajian menunjukkan uri adalah organ yang menyalurkan darah dari ibu kepada bayi untuk bekalan oksigen dan nutrisi tetapi dalam kes tekanan darah tinggi, pre eklampsia dan eklampsia, perjalanan darah di dalam uri semakin berkurangan dan boleh menyebabkan kandungan tadi mengalami masalah tumbesaran dalam kandungan. Bayi dalam kandungan juga boleh meninggal dunia.

Artikel Menarik: [Minum Ais Guna Mulut Bukan Saluran Lain. Macam Mana Boleh ‘Becak’ Di Kawasan Sulit?]

Jika ibu mengandung mengalami pre-eklampsia atau eklampsia, bayinya terpaksa dilahirkan dan ini mungkin berlaku sebelum bayi itu matang. Bayi pramatang boleh mengalami masalah paru-paru dan pendarahan di otak. Bayi pramatang boleh juga mengalami masalah usus yang dikenali sebagai necrotizing enterocolitis. Mereka juga mudah mengalami jangkitan kuman di paru-paru misalnya.

Bayi-bayi ini juga boleh mengalami masalah visual dan pendengaran di kemudian hari.

Bagaimanakah cara nak elakkan sawan ketika hamil?

Pada waktu ini tidak ada bukti kukuh untuk mengurangkan risiko eklampsia, tetapi penggunaan ubat “low dose aspirin”, kalsium, L-arginin dan antioksidan banyak digunakan bagi tujuan ini.

Pada waktu yang sama, ibu dinasihatkan supayaya berhati-hati jika:

  1. Termasuk dalam golongan yang berisiko tinggi
  2. Berlaku kenaikan bacaan tekanan darah, kenaikan berat badan dan keputusan air kencing menunjukkan adanya protein ketika pemeriksaan kehamilan
  3. Adanya simptom-simptom pre-eklampsia (walaupun tekanan darah normal ketika itu), hendaklah terus pergi ke hospital!

Golongan wanita yang berisiko tinggi adalah:

  • Hamil buat kali pertama
  • Hamil buat kali pertama dengan pasangan yang baru
  • Pernah mengalami pre-eklampsia
  • Ibu atau adik-beradik pernah mengalami pre-eklampsia
  • Mengandung anak kembar (atau lebih)
  • Mengalami masalah darah tinggi SEBELUM hamil
  • Berat badan naik dengan mendadak
  • Ujian air kencing dipstick menunjukkan adanya protein

Simptom-simptom atau gejala-gejala pre-eklampsia boleh berlaku sebelum tekanan darah melonjak tinggi. Jika anda mengalaminya, pergi ke hospital dengan segera. Di antaranya adalah:

  • Sakit kepala atau migrain
  • Pening
  • Loya
  • Sakit ulu hati/ gastrik
  • Kabur mata
  • Muntah

Kesimpulannya kes-kes sawan eklampsia ini masih merupakan kes kecemasan yang utama dan serius di mana-mana hospital. Oleh itu, pihak kakitangan hospital dan juga semua wanita hamil hendaklah sentiasa berjaga-jaga jika tekanan darah mula meningkat tinggi.

Previous
Next Post »
loading...