loading...

Kira-Kira 1 Daripada 10 Lelaki Berisiko “Meroyan” Selepas Isteri Bersalin

Bersalin adalah pengalaman buat wanita yang sangat menakjubkan. Dalam masa yang sama juga, ia boleh jadi mengerikan. Sudah pasti anda pernah terbaca atau terdengar mengenai wanita meroyan selepas bersalin, kan? Ya, ia adalah perkara yang mungkin biasa terjadi. Namun, lain pula ceritanya kalau lelaki yang meroyan! Nak tahu lebih lanjut, teruskan membaca artikel ini.

Lelaki pun boleh meroyan?

Buat anda yang belum tahu, lelaki juga boleh mengalaminya. Kemurungan selepas bersalin dalam kalangan lelaki ini dikenali sebagai paternal postpartum depression (PPPD).

Menurut Dr Yen Teck Hoe yang merupakan pengarang laman sesawang Positive Parenting, kira-kira 1 daripada 10 lelaki berisiko mengalami masalah ini.

Siti Fatimah Abdul Ghani, Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menegaskan bahawa kebarangkalian lelaki mengalami masalah ini adalah 2.5 kali ganda berbanding wanita. Meskipun ia tidak begitu diketahui umum, fenomena ini kian teruk berlaku. Jadi, lelaki di luar sana perlu lebih berhati-hati.

Apa punca ia berlaku?

Menurut kajian yang dilakukan oleh laman sesawang Parents.com, punca ia berlaku adalah sama seperti wanita juga iaitu perubahan paras turun naik hormon yang akan menyebabkan gangguan emosi. Untuk lebih mendalam, lelaki akan mengalami masalah ini jika hormon testosteron menurun manakala hormon estrogen, prolaktin dan kortisol meningkat.

Bukan itu sahaja, ramai pakar psikologi turut berpendapat bahawa lelaki mungkin mengalaminya ekoran daripada tekanan hidup yang makin meningkat. Mana tidaknya, mereka kini perlu menanggung tanggungjawab untuk menjaga anak yang baru lahir. Jadi, kos sara hidup sudah pasti akan melambung lebih tinggi.

Apa tanda ia berlaku?

Ia tidak banyak berbeza dengan wanita. Lelaki yang meroyan akan menunjukkan tanda seperti berikut:

Mudah marah, gelisah, tidak boleh duduk diam. Lesu, tidak bermaya, tidak bertenaga
Selalu bersedih dan menangis. Menjauhkan diri dari bayi dan isteri. Lebih kerap berada di luar rumah. Lebih gemar bekerja lebih masa. Selalu bercakap mengenai kematian

Jadi, apa yang perlu dilakukan?

Ia adalah perkara yang tidak boleh dielakkan. Oleh itu, jangan sesekali menyalahkan dirinya atau diri anda sendiri. Jika dia cuba mengelak dari tanggungjawab sebagai bapa atau suami, jangan memarahinya, ia hanya akan membuat keadaan lebih teruk. Sebaliknya, beri sokongan, dorongan dan galakan kepada mereka.

Selain itu, mungkin ada beberapa rawatan klinikal & tradisional buat lelaki meroyan:

Terapi perlakuan kognitif – mengajar strategi harian mengatasi masalah ini
Terapi seni ekspresif – menyokong proses pertumbuhan mental, emosi dan pemikiran individu.
Perawatan tradisional – urutan selepas bersalin serta ‘pantang’ juga tidak boleh diabaikan.

Jadi, jangan terkejut jika anda terdengar, terbaca atau anda sendiri sebagai lelaki mengalami masalah meroyan selepas isteri bersalin. Ia adalah perkara yang mungkin tidak biasa, namun boleh dialami oleh beberapa lelaki. Jika berlaku, segera dapatkan bantuan pakar, ya?

Sumber:Hello Health 

Previous
Next Post »
loading...